Google: Laman web tidak digodam

Syafique Shuib
Mac 4, 2013 21:16 MYT
Google menafikan lawan webnya digodam setelah hasil pencarian “Sabah” menunjukkan negeri itu sebagai “tidak sah”.
Astro AWANI menghubungi pihak Google untuk mendapatkan penjelasan dan seorang jurucakap syarikat itu berkata, “Maklumat di bahagian Knowledge Panel datang dari Knowledge Graph, yang mempunyai jutaan indeks maklumat yang juga terdiri dari sumber terbuka seperti Wikipedia. Apabila pengguna melakukan pencarian, sistem kami akan mengambil maklumat dari Knowledge Graph dan dikeluarkan di Knowledge Panel.
“Kami mahu mengetengahkan maklumat setepat mungkin, jadi kami ada pautan untuk pengguna melaporkan jika mempunyai maklumat yang tidak tepat.”
Jurutera Google sedang memeriksa sistem mereka namun berkata sesetengah maklumat adalah dari sumber terbuka seperti Wikipedia dan mungkin terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menukar maklumat.
Agensi berita AFP sebelum ini melaporkan bahawa laman web Google digodam akibat isu pencerobohan di Sabah.
“Pihak yang memberi sokongan kepada pihak penceroboh yang mahukan kedaulatan ke atas Sabah melancarkan kempen siber seperti menukarkan hasil pencarian Google untuk memberi sokongan kepada penceroboh,” menurut laporan AFP.
#Google #laman web digodam #Wikipedia
;