Google Analytics bantu usahawan kenal pasaran, pelanggan

Astro Awani
Jun 22, 2021 13:21 MYT
Mendekati pelanggan secara maya berbeza dengan cara konvensional dan usahawan perlu membiasakan diri dengan pelbagai skil. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ketika seluruh dunia tertumpu kepada urus niaga dalam talian, tentunya pengetahuan dalam memahami kehendak pelanggan secara maya juga menjadi semakin penting.
Sedar atau tidak, mendekati pelanggan secara maya berbeza dengan cara konvensional dan usahawan perlu membiasakan diri dengan pelbagai skil bagi memudahkan proses itu.
Dalam sesi webinar LINC dan Google Workshop bersama Astro AWANI hari ini, pengasas Mind Movers Academy, Rubini Vijayasuriar, berkongsi cara mudah dan efektif untuk mengenali pasaran perniagaan menerusi Google Analytics.
"Menariknya tentang Google Analytics ini, ia akan membantu anda menjawab pelbagai pertanyaan berkenaan prestasi laman web anda, termasuk pertanyaan yang mungkin anda sendiri tidak pernah terfikir.
"Ia akan memberitahu anda bagaimana pelanggan menemui laman web anda dari mana mereka datang dan apabila mereka berkunjung ke laman web anda, apa yang mereka lakukan, page mana mereka masuk dan berapa lama mereka luangkan masa di situ.
"Ini bukan sahaja membantu anda memahami pelanggan, tetapi juga membantu anda mengukur keberkesanan inisiatif pemasaran anda," katanya dalam sesi berdurasi 60 minit itu.
Selain data, Google Analytics juga akan membantu usahawan menunjukkan bagaimana pelanggan dan orang ramai berinteraksi dengan saluran pemasaran yang digunakan.
"Sebagai contoh, seorang penjual baju atas talian bernama Lisa menggunakan Google Analytics yang membolehkan anda melihat dengan jelas, tidak perlu berteka-teki tentang perjalanan pelanggan bersama jenamanya.
"Dia boleh lihat tingkah laku pelanggan yang menekankan pautan laman web dari media sosial, sebagai contoh serta dari mana mereka menekan pautan itu.
"Malah, dia juga boleh mendapatkan laporan keupayaan media sosial serta impaknya kepada prestasi laman web," tambahnya.
#Google Analytics #media sosial #usahawan #perniagaan #digital #LINC #Google Workshop #Mind Movers Academy #Rubini Vijayasuriar
;