Good Vibes Festival: Kerajaan cari solusi bantu artis, vendor tidak dibayar - Fahmi

Umavathi Ramayah
Julai 23, 2023 06:15 MYT
Fahmi Fadzil memaklumkan, MyCreature Ventures sudahpun menghubungi mereka yang terlibat dan akan tampil dengan penyelesaian dalam masa terdekat. - Gambar fail SINAR HARIAN
SHAH ALAM: Agensi MyCreative Ventures sedang mencari solusi terbaik bagi membantu artis tempatan dan vendor yang tidak mendapat bayaran susulan pembatalan serta-merta Good Vibes Festival.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan, MyCreature Ventures sudahpun menghubungi mereka yang terlibat dan akan tampil dengan penyelesaian dalam masa terdekat.
"Kami telah menghubungi vendor dan artis tempatan. Persembahan antarabangsa telah dibayar tetapi artis tempatan tidak diberi bayaran.
"MyCreative Ventures telah menghubungi bagaimana untuk membantu penjual makanan dan artis tempatan dan saya akan menyerahkan kepada mereka untuk memaklumkan kami bantuan yang boleh diberikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Watikah Komuniti MADANI peringkat zon Selangor di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, pada Ahad.
Fahmi sebelum ini mengarahkan persembahan Good Vibes Festival yang berbaiki dua hari dibatalkan serta-merta susulan aksi vokalis kumpulan British The 1975, Matty Healy yang memperlekehkan undang-undang Malaysia berkenaan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
MyCreative adalah salah satu cabang pelaburan kerajaan bermatlamat meningkatkan industri kreatif tempatan ke tahap lebih tinggi menerusi pelaburan kewangan strategik dan inovatif, sama ada dalam bentuk ekuiti atau pinjaman.
#Fahmi Fadzil #good vibes festival #artis tempatan #LGBT
;