Gombak-Hulu Langat Geopark diharap dapat pengiktirafan UNESCO - Nik Nazmi
Syafik Shukri Jalil
November 16, 2024 14:40 MYT
November 16, 2024 14:40 MYT
GOMBAK: Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor diharap mampu menerima pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) dan kukuh menjadi hab geopelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
Ringkasan AI
- Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor diharap mampu menerima pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) dan kukuh menjadi hab geopelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.
- Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus komited membantu Kerajaan Negeri dari sudut teknikal termasuk kajian saintifik tentang sumber geotapak dan program kesedaran bersama masyarakat.
- Kerajaan menyasarkan setiap negeri untuk memiliki dan mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus komited membantu Kerajaan Negeri dari sudut teknikal termasuk kajian saintifik tentang sumber geotapak dan program kesedaran bersama masyarakat.
‘’Pada tahun ini, Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah memperakukan Sarawak Delta Geopark dan Lenggong Geopark untuk dicalonkan sebagai UGGp.
‘’Seterusnya Kementerian telah mengemukakan sokongan bagi surat niat daripada kedua-dua geopark berkenaan kepada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) untuk dikemukakan ke Sekretariat Geopark di UNESCO.
‘’Langkah seterusnya ialah mengemukakan dossier sebelum 30 November 2024 dan penilaian tapak oleh UNESCO dijangka diadakan antara Mei hingga Ogos 2025,’’ katanya.
Nik Nazmi berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark pertama Negeri Selangor.
Selain itu ujarnya, kerajaan menyasarkan setiap negeri untuk memiliki dan mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.
Ujarnya, kepentingan dalam mempromosikan sumber geotapak dan geopark di Malaysia adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan negara.
Malah, ia selari dengan usaha menggubal dasar, strategi dan garis panduan untuk memastikan pembangunan kawasan geopark dilaksanakan secara lestari dan holistik serta mencapai pengiktirafan sehingga ke peringkat global.
‘’Kerajaan menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu geopark di peringkat kebangsaan.
‘’Sebanyak 10 Geopark Kebangsaan termasuk Gombak-Hulu Langat Geopark yang telah diperakukan sehingga kini iaitu Jerai di Kedah, Kinta dan Lenggong di Perak, Labuan, Sarawak Delta di Sarawak, Stong di Kelantan, Kenyir di Terengganu, Perlis dan Lipis di Pahang.
‘’Manakala dua geopark yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) adalah Langkawi dan Kinabalu,’’ katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di Selangor.
Pada majlis berkenaan, Baginda berkenan menyempurnakan lafaz perasmian seterusnya menandatangani plak sebagai simbolik pengisytiharan geopark berkeluasan 112,955 hektar merentasi daerah Gombak dan Hulu Langat.