Golongan T20 turut terkesan impak kos sara hidup

Hafiz Marzukhi, Nursyazwani Saiful Sham
April 18, 2018 06:29 MYT
Isu kenaikan kos sara hidup bukan hanya memberi kesan kepada golongan berpendapatan B40, tetapi juga mereka yang berada di dalam kumpulan T20. Gambar hiasan
Isu kenaikan kos sara hidup bukan hanya memberi kesan kepada golongan berpendapatan B40, tetapi juga mereka yang berada di dalam kumpulan T20.
Berdasarkan tinjauan di Parlimen Segambut, rata-rata penduduk menyuarakan keresahan kerana kuasa pembelian mereka didapati mengecil berbanding beberapa tahun lepas.
Antara yang ditemui Astro AWANI ialah Christi Hon, seorang pekerja swasta, yang mengakui pertumbuhan gaji yang kecil menyukarkan penduduk yang berdepan kenaikan kos sara hidup, terutamanya di bandar.
"Kos sara hidup telah meningkat secara umumnya tetapi gaji masih pada tahap yang sama dan semua orang mengetahuinya.
"Jadi, satu solusi diperlukan untuk memastikan rakyat boleh menghadapi isu ini," katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi seorang suri rumah, yang hanya mahu dikenali sebagai Norshazlina, yang tinggal di Desa Sri Hartamas .
"Alhamdulillah, kami antara yang bertuah menerima pendapatan mencukupi untuk menampung perbelanjaan anak-anak.
"Namun, satu persepsi yang salah untuk menyatakan kami tidak merasakan beban kos sara hidup yang tinggi," katanya.
Bagi eksekutif pemasaran yang ingin dikenali sebagai Razlan, walaupun kenaikan kos sara hidup tidak membebankannya dan keluarga dari segi keperluan asas, namun dia tetap merasai impak tersebut.
"Bagi saya, mudah. Kalau dahulu seminggu dua tiga kali boleh bawa keluarga untuk makan di luar, sekarang ini kena bajet sedikit.
"Memang tidak perlu pun untuk makan di luar tetapi saya ingin juga gembirakan hati isteri dan anak-anak sekurang-kurangnya sekali seminggu. Namun, sekarang ini tidak boleh sebab harga terlalu mahal," katanya.
Kawasan Desa Seri Hartamas yang terletak berdekatan Mont Kiara dipenuhi kondominium dan kawasan perumahan mewah yang didiami golongan berpendapatan T20.
Kerajaan mengkategorikan 40 peratus isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah sebagai golongan B40.
Sementara M40 merujuk kepada golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan, iaitu mereka yang berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan.
Manakala, T20 merujuk kepada 20 peratus golongan berpendapatan tinggi pada RM8,319 sebulan dan ke atas.
#kos sara hidup #M40 #MalaysiaMemilih #PRU #PRU14 #Segambut #T20
;