Golongan pertengahan berdepan isu ketidakseimbangan
Dania Zainuddin
September 5, 2015 08:00 MYT
September 5, 2015 08:00 MYT
Isu ketidakseimbangan dalam masyarakat khususnya golongan kelas pertengahan, bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi secara global.
Pengarah Eksekutif Mark Faber Limited, Marc Faber berkata antara puncanya selain peningkatan kos sara hidup adalah langkah bank-bank pusat yang terus mencetak wang yang membawa kepada peningkatkan kepada saham dan nilai hartanah.
Menurut Faber, ini secara langsung memberi keuntungan kepada pihak yang sudah memilki aset dan menyebabkan ketidakseimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Bagi golongan muda dan golongan kelas pertengahan yang mempunyai nilai aset yang sedikit, mereka perlu membelanjakan wang ke atas pendidikan anak dan sebagainya.
"Ini menyebabkan mereka ketinggalan dan ketidakseimbangan dalam masyarakat akan terus meningkat dalam situasi ini." kata Faber dalam satu temubual bersama Astro AWANI.
Golongan kelas pertengahan ini akan menerima manfaat sekiranya berlaku penurunan harga secara keseluruhan serta pendapatan yang kekal stabil kerana kuasa membeli yang akan meningkat.
Faber yang ditemui di Simposium Pasaran Modal Dunia di ibu negara pada Jumaat berpendapat, kerajaan yang kurang campur tangan dalam hal ekonomi biasanya menunjukkan prestasi ekonomi yang baik.
"Kerajaan yang terbaik adalah kerajaan yang paling kurang campur tangan dalam hal ekonomi. Bagi rakyat pula, mereka perlu membantu diri mereka dan tidak bergantung kepada kerajaan sepenuhnya" kata Faber.
Dia menjelaskan ekonomi perlu menjadi pasaran bebas dan mengamalkan sistem kapitalis dengan mengelak campur tangan kerajaan yang berterusan seperti langkah monetari, kawal selia dari bank pusat, polisi fiskal dan sebagainya.