Golongan, NGO profesional dipelawa sertai kempen Rasuah Busters
Umavathi Ramayah
April 5, 2021 15:39 MYT
April 5, 2021 15:39 MYT
SHAH ALAM: Golongan profesional dan badan-badan berkaitan dipelawa untuk berganding bahu bersama-sama menyertai kempen Rasuah Busters yang diperjuang oleh Sinar Harian.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, dengan peningkatan momentum ini, ia bakal meningkatkan penyertaan dan keyakinan orang ramai.
"Misalnya, fasa ketiga mengangkat konsep reformasi moral dan integriti. Jadi, seeloknya ia perlu dibuat oleh individu yang pakar seperti peguam dan sebagainya.
"Kita berharap persatuan-persatuan profesional seperti peguam dapat mengangkat tugas-tugas itu dan bawa ke satu lagi peringkat," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman pasukan teras Rasuah Busters di ibu pejabat Kumpulan Karangkraf di sini, pada Isnin.
Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf menjelaskan, pasukan teras yang dianggotai 15 ahli daripada pelbagai latar belakang bertindak sebagai gandingan pemikir dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerak kerja dalam pembentukan jalinan strategi antara individu dan pelbagai kumpulan.
Sesungguhnya beliau berkata, usaha menjayakan kempen Rasuah Busters tidak hanya terletak di bahu Sinar Harian sahaja, sebaliknya perlu didukong oleh setiap individu dan media.
Terdahulu, ketika ditanya keberkesanan pasukan itu yang tidak dianggotai mana-mana pasukan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau menjelaskan, gerakan Rasuah Busters mengambil pendekatan desentralisasi iaitu Pasukan Pusat Rasuah Busters (PPRB) di peringkat pemula dengan mencetuskan kesedaran orang ramai.
"Gabungan ini menjalankan pelbagai gerakan dalam mencapai segmen masyarakat di seluruh peringkat ekosistem masyarakat.
"Kami juga berusaha dalam membentuk kerangka yang lebih besar untuk membantu negara melalui proses dan struktur penting yang mendatangkan impak untuk jangka masa yang panjang," ujarnya.
Pada 16 Januari lalu, Hussamuddin melancarkan kempen Rasuah Busters atau gerakan yang dinamakan sebagai 'Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa' bagi membanteras gejala rasuah.
Kempen itu juga mengangkat tema 'Mak Kata Jangan' memandangkan ibu merupakan individu yang cukup istimewa, yang mengajar anak untuk menilai perkara baik dan buruk untuk diikuti.
#Rasuah Buster
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#Mak Kata Jangan
#golongan profesional
#Sinar Harian