Golongan muda salur pandangan, permasalahan menerusi platform idea bina negara
Bernama
Ogos 20, 2022 05:30 MYT
Ogos 20, 2022 05:30 MYT
SHAH ALAM: Mahasiswa dan golongan muda Keluarga Malaysia diberi ruang untuk menyampaikan idea bagi pembangunan masa depan negara atau melontarkan segala pemasalahan yang dihadapi mereka kepada kerajaan melalui platform Idea Bina Negara mulai Sabtu.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria berkata menerusi laman sesawang https://www.ideabinanegara.my/ segala idea atau pandangan dalam semua bidang termasuk input bagi perangkaan Belanjawan 2023 boleh disalurkan.
"Anak muda adalah pewaris negara dan mereka perlu bijak untuk menentukan kerajaan yang berupaya memastikan negara ini sentiasa aman dan sentosa," katanya kepada media selepas prapelancaran program Idea Bina Negara Anak Muda Keluarga Malaysia di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di sini pada Sabtu.
Sollehuddin Alyubi memberitahu kajian sikap dalam kalangan anak muda telah lama dilakukan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), namun penganjuran program Idea Bina Negara Anak Muda adalah lebih mendalam bagi memupuk serta menunjukkan kepada golongan muda bahawa kerajaan sentiasa bersama mereka.
Katanya penglibatan anak muda dalam menyampaikan dan berkongsi idea mengenai pembangunan Malaysia, secara tidak langsung ia akan memupuk semangat cintakan negara.
Beliau berkata program tersebut akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 4 Okt ini yang turut disertai 25,000 anak muda secara penstriman langsung.
--BERNAMA