Golongan muda minat kerja '3D', namun tiada peluang
Sharom Abu Bakar
Februari 16, 2016 09:07 MYT
Februari 16, 2016 09:07 MYT
Golongan belia di negara ini masih berminat dan mampu bekerja dalam sektor 3D iaitu "dirty, difficult and dangerous" (kotor, sukar dan bahaya).
Bagaimanapun, menurut pekerja binaan warga tempatan, majikan lebih berminat menggaji pekerja asing dengan alasan tertentu, sekali gus menafikan hak penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
Bagi pekerja binaan, Hamta Harun, pelbagai isu sampingan menyaksikan golongan terbabit tidak cenderung terhadap bidang berkenaan yang akhirnya membuka peluang kepada warga asing.
"Budak muda sekarang yang jadi mat rempit, bukan sebab mereka tiada kerja yang mereka tidak boleh buat, bukan mereka tidak mahu bekerja.
"Sekarang ini ramai orang asing yang buat banyak kerja dan budak-budak ini tiada peluang," katanya.
Manakala bagi Azlan Hasan, dia berkata kerajaan mampu mencorakkan belia di negara ini dengan menyediakan mekanisma yang sesuai diperingkat sekolah, sebelum mereka menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.
Jelasnya, kerajaan juga perlu melihat ke manakah hilangnya pelajar yang dilahirkan dari sekolah serta institusi yang berasaskan bidang kemahiran serta latihan vokasional.
"Kalau boleh, semasa latihan industri pelajar-pelajar ini perlu diserapkan terus kepada sektor-sektor yang bersesuaian dengan apa yang mereka belajar.
"Contohnya, jika seseorang itu belajar tentang pertanian, serap terus sahaja dalam bidang itu. Beri mereka jaminan pekerjaan dan gaji yang lebih baik, baru mereka ada minat.
"Mereka akan rasa benda ni lebih terjamin untuk tempoh masa yang panjang," tambahnya.