Golongan muda berdepan cabaran 'merdekakan' minda daripada pengaruh luar

Bernama
Ogos 30, 2024 23:00 MYT
Lim berkata cabaran ledakan teknologi juga menyebabkan generasi muda terdedah kepada pengaruh positif mahupun negatif melalui internet dan media sosial khususnya. - Gambar fail X @limsanshien
JOHOR BAHRU: Generasi muda perlu "memerdekakan" minda daripada budaya dan pengaruh luar yang boleh merosakkan jiwa dan bangsa bagi memastikan semangat patriotik sentiasa tersemat dalam sanubari mereka.
Duta Perpaduan Johor Lim San Shien, 24, berkata cabaran ledakan teknologi juga menyebabkan generasi muda terdedah kepada pengaruh positif mahupun negatif melalui internet dan media sosial khususnya.
"Sekiranya ambil yang positif, akan membawa kepada kebaikan diri dan negara, namun jika tersilap langkah maka minda generasi belia kita akan dijajah oleh pengaruh negatif," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini.
Lim yang juga Presiden dan Pengasas Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya berkata dalam menyemai erti kemerdekaan dan memastikan semangat itu tidak pudar dalam kalangan belia, semua pihak perlu memainkan peranan agar pengertian merdeka terus difahami generasi akan datang.
"Pada pandangan saya sebagai Duta Perpaduan Negeri, badan bukan kerajaan (NGO), media dan institusi keluarga harus melipatgandakan usaha untuk memastikan generasi belia menghayati Rukun Negara, Perlembagaan dan demokrasi berparlimen melalui ceramah, perkongsian, infografik dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata uniknya di Malaysia ialah perjuangan kemerdekaan dikongsi pelbagai kaum yang harus dijaga dan dikekalkan sekali gus dapat menjadi ejen perpaduan bagi mengeratkan lagi ukhuwah untuk saling memahami antara kaum.
"Kita sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum khasnya generasi belia, perlu memiliki sifat kasih sayang dan mencari integrasi dan menerokai titik persamaan antara kaum, selain mengambil semangat perjuangan tokoh terdahulu yang berusaha menuntut kemerdekaan," katanya.
Generasi muda juga katanya, perlu merebut peluang menyertai semua aktiviti pada Bulan Kebangsaan seperti perbarisan dan program yang mendorong sifat kebersamaan dan perpaduan negara sekali gus dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri mereka.
"Antara program yang boleh disertai ialah sambutan minggu perpaduan, pameran pakaian tradisional ... ia amat signifikan untuk meningkatkan literasi rakyat tentang nilai perpaduan dan kemerdekaan negara," katanya.
Lim berkata penghayatan dan pemahaman berhubung sejarah kemerdekaan amat penting kerana ia adalah refleksi dan pengajaran untuk berhijrah menjadi individu yang lebih baik dan mampu melontarkan idea konstruktif untuk membina negara ke arah masa depan lebih baik.
-- BERNAMA
#infografik #media sosial #perpaduan #semangat patriotik
;