Golongan masalah pembelajaran paling ramai mendaftar untuk kad OKU - Rohani
Astro Awani
Julai 4, 2014 09:19 MYT
Julai 4, 2014 09:19 MYT
Seramai 180,067 daripada 498,906 Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar untuk mendapatkan kad OKU merupakan golongan yang mempunyai masalah pembelajaran.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, angka itu merupakan yang tertinggi selain golongan OKU lain yang mengalami masalah berkaitan.
"Kategori OKU paling ramai mendaftar ialah golongan yang mengalami masalah pembelajaran iaitu 180,067 orang dan diikuti masalah fizikal (163,809), masalah pendengaran (59,161), masalah penglihatan (46,875), masalah mental (20,492), masalah pertuturan (3,717) dan 24,785 yang mempunyai masalah pelbagai kombinasi.
"Lebih kurang 35 peratus daripada jumlah ini merupakan kanak-kanak. Pada masa ini pendaftaran OKU dilakukan atas dasar sukarela," katanya.
Kad OKU itu adalah sebagai pengesahan status mereka dan layak untuk menerima 25 keistimewaan dan kemudahan yang disediakan kerajaan.
Antara keistimewaan itu termasuklah pengecualian bayaran MyKad, pengecualian bayaran rawatan perubatan, pengecualian duti import alat tiruan sokongan dan pengecualian bayaran pembaharuan lesen memandu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Rohani berkata kementeriannya menerusi JKM sentiasa menjalankan kempen kesedaran mengenai pentingnya ibu bapa serta penjaga OKU membuat pendaftaran di JKM.
"Setiap kali ada program atau aktiviti yang melibatkan kementerian, JKM akan turun padang dan membuka petak pendaftaran OKU bagi memudahkan OKU di luar sana membuat pendaftaran," katanya.
Beliau berkata pendaftaran OKU di JKM sangat penting untuk membolehkan kementeriannya mengenalpasti bilangan dan taburan OKU mengikut kategori ketidakupayaan OKU terbabit supaya dapat disediakan perkhidmatan serta kemudahan yang bersesuaian dengan golongan itu.
Katanya, mana-mana individu OKU yang mendapat pengesahan daripada doktor layak mendaftar dengan JKM tanpa sebarang syarat kelayakan pendapatan dikenakan bagi membolehkan mereka memiliki kad OKU.
"Persepsi kebanyakan masyarakat sekarang fikir kalau daftar JKM ada syarat tertentu seperti pendapatan banyak tidak layak daftar.
Sebenarnya salah persepsi ini kerana sesiapa sahaja boleh daftar di JKM tanpa kira jumlah gaji mahupun umur berapa, selagi ada surat pengesahan pakar perubatan, selagi itu mereka boleh mendaftar untuk mendapatkan kad OKU," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata saringan akan dibuat ke atas setiap permohonan bantuan peruntukan bulanan OKU untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan bulanan itu.
Sebelum ini, JKM meminta OKU atau penjaga mereka memperbaharui kad OKU masing-masing supaya memudahkan kerajaan merancang program berkaitan keperluan golongan itu selain mengelak masalah untuk menerima bantuan kelak.