Golongan LGBT tidak layak sertai polis - Timbalan KPN
Astro Awani
April 23, 2016 17:24 MYT
April 23, 2016 17:24 MYT
Golongan yang mengamalkan budaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak layak menyertai pasukan polis.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, ini kerana golongan tersebut jauh menyimpang dari tatatertib budaya Malaysia yang merupakan sebuah negara Islam.
Beliau berkata, budaya itu bukan ditentukan oleh pihak polis sebaliknya adalah adat dan penerimaan rakyat di negara ini.
"Pihak polis sama sekali tidak menerima golongan ini kerana lesbian dan gay sememangnya jauh menyimpang dari budaya negara kita.
"Namun begitu, jika mereka layak menyertai polis mereka perlu mematuhi prinsip yang diamalkan di negara ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Sijil Tamat Latihan Inspektor Siri 3 2015 di PULAPOL di sini, hari ini.
Pada majlis itu seramai 575 pegawai kadet menerima Sijil Tamat Latihan Inspektor.