Golongan LGBT tidak harus didiskriminasi di tempat kerja - Mujahid

Astro Awani
Julai 23, 2018 14:02 MYT
Statistik menunjukkan 80 peratus mak nyah terlibat dalam industri seks, dan jika mereka didiskriminasi di tempat kerja, mereka akan terus berada dalam industri ini, kata Mujahid. - Gambar hiasan
Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhak menikmati hak sama rata sebagai warganegara dan tidak seharusnya didiskriminasi dalam sebarang bentuk termasuk di tempat kerja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof.
Merujuk Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata, hak asasi warganegara Malaysia sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya di negara ini serta kerangka Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Dengan kata lain tidak boleh ditindas, dianiaya dan dizalimi di tempat kerja.
"Statistik menunjukkan 80 peratus mak nyah terlibat dalam industri seks, kalau kita diskriminasi mereka di tempat kerja maka mereka akan terus berada dalam industri ini, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan berhasrat mengeluarkan mereka daripada industri ini," katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu tindakan kerajaan terhadap penularan budaya songsang itu yang semakin membimbangkan.
Mujahid berkata, golongan tersebut tidak dibenarkan mengamalkan gaya hidup itu di negara ini.
Katanya, perkara ini tertakluk di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah pada peringkat negeri berkenaan perlakuan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan.
"Hak komuniti LGBT mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang (yang) tidak membenarkan(nya) di Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memperkenalkan pelbagai program untuk mendekati dan memulihkan golongan itu melalui program sukarela, sekali gus membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
#diskriminasi #gaya hidup #hak asasi #industri seks #JAKIM #LGBT #mak nyah #Mujahid Yusof Rawa #Pakatan Harapan #Perlembagaan Persekutuan #sama rata #tempat kerja #undang-undang #warganegara
;