Golongan kaya memang sedia untuk tidak terima subsidi - Madeline

Isabelle Leong
Disember 8, 2018 07:00 MYT
Sekiranya anda dalam kategori kaya, adakah anda bersedia untuk secara sukarela mendaftarkan nama sebagai golongan tidak layak menerima subsidi? - Reuters
Sekiranya anda dalam kategori kaya, adakah anda bersedia untuk secara sukarela mendaftarkan nama sebagai golongan tidak layak menerima subsidi?
Itu soalan Twitter Poll yang telah dimuat naik Astro AWANI berkaitan kesudian rakyat Malaysia untuk menawarkan diri secara sukarela melepaskan subsidi jika mereka tergolong dalam kategori kaya.
Berdasarkan undian tersebut, rata-rata netizen telah memilih untuk mendaftarkan nama sebagai golongan tidak layak menerima subsidi.
Keputusan yang diperoleh menunjukkan pilihan ‘ya’ memperoleh 54 peratus undian, mengatasi pilihan ‘tidak’ yang mendapat 25 peratus undian dan pilihan ‘mungkin’ yang hanya mendapat 21 peratus undian.
Undian maya itu melibatkan seramai 3,030 pengguna Twitter.

Sekiranya anda dalam kategori kaya, adakah anda bersedia untuk secara sukarela mendaftarkan nama sebagai golongan tidak layak menerima subsidi? Info Lanjut: https://t.co/8ubG9y0BRo#AwaniUndi #Apakataanda

— Astro AWANI (@501Awani) December 6, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas mengenai keputusan Twitter Poll tersebut, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Madeline Berma berkata lebih separuh daripada pengundi memilih untuk melepaskan subsidi.
Katanya, keputusan itu merupakan satu petanda baik buat Malaysia memandangkan terdapat satu persepsi yang mana rakyat Malaysia dianggap terlalu bergantung kepada subsidi.
Tambah Madeline, golongan kaya atau golongan isi rumah berpendapatan tinggi (T20) tidak seharusnya menerima subsidi dan mereka amat bersedia untuk melepaskannya.
“Golongan T20 memang tidak seharusnya menerima sebarang bentuk subsidi dan mereka amat bersedia untuk melepaskannya. Mereka bukan sahaja kaya, mereka amat kaya.
“Saya ambil tiga contoh subsidi yang banyak disubsidikan iaitu subsidi kesihatan, pendidikan dan minyak. Majoriti daripada mereka tidak menggunakan klinik dan hospital kerajaan atau menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan institusi pengajian tinggi yang ditaja kerajaan.
“Mereka sepatutnya kumpulan pertama yang perlu melepaskan subsidi," katanya.
Beliau juga berkata jika golongan T20 tidak menerima subsidi kerajaan, subsidi itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat terutamanya diberikan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2016, T20 merujuk kepada golongan berpendapatan tinggi pada RM16,088 sebulan.
Sementara itu, M40 merujuk kepada golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan, iaitu mereka yang berpendapatan RM6,502 sebulan.
B40 pula merujuk kepada 40 peratus golongan berpendapatan rendah pada RM2,848 sebulan.
#B40 #kaya #M40 #netizen #Penganalisis ekonomi #Prof Madya Dr Madeline Berma #subsidi #T20 #Twitter #Twitter poll
;