Golongan belia perlu timbang galas kepimpinan pada usia muda - Tengku Zafrul

Bernama
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
Dalam Bajet 2023 bagi golongan belia, yang mewakili kira-kira 28 peratus daripada jumlah penduduk, kerajaan telah mencadangkan pelbagai langkah termasuk peruntukan RM305 juta dalam bentuk pinjaman terutamanya kepada usahawan muda. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Golongan belia perlu mengambil inspirasi daripada para pemimpin hebat di Asia dan juga di Malaysia untuk menggalas kepimpinan pada usia muda sama ada dalam sektor swasta mahupun awam, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
"Bagi saya, yang berpeluang untuk bersama-sama berjuang bagi Malaysia semasa usaha menentang pandemik COVID-19, ia merupakan detik yang amat bermakna kepada saya.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, anda adalah masa depan Malaysia. Kita tidak boleh berkembang maju mahupun terus bertahan sekiranya golongan muda kita terus pasif dan hidup menyendiri.
"Kesusahan memerlukan harapan dan keberanian dan bukannya berputus asa," katanya pada Forum Ekonomi Belia 2022 yang bertemakan, 'Mengemudi haluan positif bagi pembinaan negara dengan ketangkasan, daya tahan dan impak' di sini, hari ini.
"Jangan kita lupakan para pemimpin hebat pada zaman kita termasuk tokoh seperti Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru dari India, Sukarno dari Indonesia, Lee Kuan Yew dari Singapura dan malahan tokoh pemimpin di negara kita sendiri seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, yang semuanya memulakan aktivitisme mereka pada usia muda dan tidak semestinya dalam politik," katanya.
Namun apabila negara memerlukan bakti mereka, mereka menyahutnya dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab berkhidmat kepada negara.
"Semua anda yang berada di sini mempunyai kuasa untuk mengubah nasib komuniti anda, masyarakat anda, negara anda dan malahan dunia.
"Namun anda perlu menonjolkan diri berbekalkan keazaman untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara ini," katanya.
Kemajuan ekonomi
Antara lainnya, Tengku Zafrul juga berkongsi kemajuan ekonomi negara pada forum tersebut dengan menyatakan masih ada sinar di sebalik cabaran dan ketidaktentuan global yang berlaku ketika ini.
Menurutnya, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi bagi tiga suku berturut-turut sejak Suku Keempat (S4) 2021 dan pada suku kedua tahun ini ekonomi negara berkembang sebanyak 8.9 peratus.
Kadar pengangguran pada Ogos 2022 berada pada 3.7 peratus, kembali ke paras seperti sebelum pandemik manakala bilangan penganggur merekodkkan penurunan yang konsisten bulan ke bulan yang mana ia adalah berita baik kepada pencari kerja.
Bank Dunia kini menyemak semula unjuran pertumbuhan 2022 bagi Malaysia dengan menaikkannya kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus sebelumnya, manakala unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa disemak kepada 5.4 peratus, naik daripada 5.1 peratus sebelumnya, katanya.
Kerajaan juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi 2022 dengan menaikkannya kepada 7 peratus daripada 6.5 peratus dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.
"Kerajaan terus komited menangani keperluan pekerjaan kita," kata Tengku Zafrul.
Pada April 2022, kerajaan mewartakan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 bagi meningkatkan taraf hidup.
Dalam Bajet 2023 bagi golongan belia, yang mewakili kira-kira 28 peratus daripada jumlah penduduk, kerajaan telah mencadangkan pelbagai langkah termasuk peruntukan RM305 juta dalam bentuk pinjaman terutamanya kepada usahawan muda serta lanjutan Skim Tekun Belia Mobilepreneur, yang akan terus membantu belia dalam sektor penghantaran jarak jauh dengan peruntukan RM10 juta.
Inisiatif ePemula diteruskan dengan peruntukan RM400 juta bagi golongan muda berusia antara 18-20 tahun dan pelajar sepenuh masa.
"Yang lain termasuklah diskaun sehingga 20 peratus bagi pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi manfaat lain seperti bagi pembelian hartanah bagi usahawan wanita, wanita yang kembali semula bekerja dan banyak lagi," katanya.
-- BERNAMA
#golongan muda #kepimpinan masa depan #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Ekonomi belia
;