Golongan belia disaran elak miliki kad kredit
Astro Awani
Disember 18, 2013 07:00 MYT
Disember 18, 2013 07:00 MYT
Golongan belia disyorkan tidak memiliki kad kredit ataupun kemudahan lain seperti pinjaman peribadi sekiranya pengetahuan mereka tentang perkara tersebut masih kurang.
Menurut Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam, Rosland Mohd Arif, berkata perkara itu adalah untuk mengelakkan mereka dari menjadi muflis disebabkan bebanan hutang yang banyak.
“Sebaiknya mereka harus elakkan dari mengambil semua kemudahan ni kerana lebih baik tidak ada kemudahan ini kerana mereka masih baru dalam pekerjaan... mereka sekurang-kurangnya kena ada pengetahuan sebelum mereka kredit kad atau pinjaman peribadi,” katanya dalam satu temubual dalam AWANI 7.45 pada Rabu.
Kata Rosland, kad kredit bukan lah satu-satunya punca golongan belia menjadi muflis kerana ada juga kes-kes lain yang melibatkan pinjaman peribadi serta perumahan.
Bagaimanapun katanya masalah tersebut boleh diselesaikan sekiranya golongan-golongan tersebut berunding dengan pihak pemberi hutang pada peringkat awal dan tidak membiarkan masalah mereka berterusan.
Selain itu, Rosland juga memberitahu seseorang itu boleh mengelakkan diri dari muflis sekiranya dia berbincang dengan bank untuk mengurangkan faedah, caj guaman dan berunding untuk membuat bayaran ansuran.
Sebanyak 68,299 individu yang berumur di bawah 45 tahun telah diisytiharkan bankrap dalam tempoh 2005 hingga tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata, bilangan itu melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan 129,640 individu yang dilaporkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dalam tempoh tersebut.
Berikutan itu, katanya, kerajaan melaksanakan beberapa langkah seperti mengadakan strategi lautan biru dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendidik golongan belia daripada menjadi muflis.