Golongan bekerja sendiri paling terjejas akibat COVID-19
Astro Awani
April 30, 2020 00:19 MYT
April 30, 2020 00:19 MYT
Berapa sebenarnya jumlah pekerjaan yang tergugat akibat COVID-19?
Di Amerika Syarikat, jumlah tersebut mencecah puluhan juta hanya dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Namun, bagaimana pula di Malaysia?
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut MASA, Mohd Nizam Mahshar, berdasarkan pengiraan pihaknya, negara mampu mencapai peratusan pengangguran sehingga 12 peratus.
“Pada hari ini, sejak Februari lepas, data menunjukkan kita pada tahap tiga peratus atau pun lebih kurang 500,000 dari mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.
“Tetapi berdasarkan kepada anggaran yang kami lihat, ia boleh mencapai ke nilai 1.8 hingga 2 juta selepas COVID-19,” jelasnya dalam program Agenda AWANI, pada Khamis.
Tambahnya, golongan yang bekerja sendiri perlu diberi tumpuan kerana dilapor paling terjejas akibat pandemik ini.
Ini memandangkan 70 peratus daripada golongan itu mempunyai simpanan kurang sebulan.
Dan kerana itu, Nizam berkata sudah tiba masanya ekonomi negara perlu berubah kepada kalis krisis selepas pandemik COVID-19.
“Kita kena mengubah ekonomi kita, ‘its time to push a reset button’, bukan sahaja untuk kita ‘restart’, tetapi memulakan semula (reset).
"Kita perlu sekali gus menangani masalah-masalah kita yang lampau supaya kita kalis daripada krisis ini, dan kesan daripadanya, kenapa kita perlu menanganinya adalah memastikan pendapatan kerja kita adalah lebih tinggi daripada sebelum ini.
“Selain itu, kesan daripada itu juga, golongan ini mampu memiliki simpanan lebih banyak dan lebih berupaya untuk menangani krisis,” tambahnya.