Golongan B40 digesa manfaatkan saringan kesihatan percuma
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 21, 2022 17:05 MYT
Jun 21, 2022 17:05 MYT
NIBONG TEBAL: Lebih ramai golongan B40 disaran memanfaatkan pemeriksaan kesihatan percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan B40 (PEKA B40) yang dikhaskan untuk kumpulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Protect Health Corporation Sdn Bhd (Protect Health), Datuk Anas Alam Faizli berkata, sejak program itu diperkenalkan, sekitar 620,000 daripada sasaran 5.9 juta rakyat negara ini yang layak disaring telah menjalani ujian saringan kesihatan.
Bagaimanapun, dalam masa sama, tegas beliau, masih ramai yang mengambil mudah dan tidak mengambil peluang menjalani saringan kesihatan disebabkan beberapa faktor antaranya terlalu sibuk bekerja.
Selain itu, jelas beliau, faktor lain yang menyebabkan golongan itu merebut peluang menjalani ujian itu ialah, tahap kesedaran kepentingan menjaga kesihatan juga masih rendah.
“Masalahnya (dalam golongan ini) kalau sakit baru pergi hospital, itu bukan penjagaan kesihatan, itu adalah penjagaan kesakitan. Apa yang sedang kita lakukan ialah (kempen) penjagaan kesihatan, kita nak (bantu) kesan awal (sekiranya ada penyakit).
“Kebanyakan saringan awal boleh sembuh, masalahnya bila sudah mudarat dan sebar ke seluruh badan akan jadi masalah. Sebab itu kita cakap saring awal dan selamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jangkau Luar Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma menerusi Skim Peduli Kesihatan B40 (PEKA B40) di Dewan Pusat Kegiatan Masyarakat Valdor di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Anas Alam berkata, pihak ProtectHealth menyasarkan untuk menyaring 200,000 golongan B40 tahun ini.
Katanya, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 39,364 orang telah disaring sejak 15 April 2019 hingga 31 Mei lepas.
“Sehingga hari ini, setakat penubuhan PEKA B40, kita telah menyaring 39,364 di Pulau Pinang dan sasaran pada tahun ini adalah untuk menyaring 11,818 orang di negeri ini untuk menyumbang kepada sasaran nasional sebanyak 200,000 bagi tahun 2022,” jelas beliau.
Menurut Anas Alam, PEKA B40 juga mempunyai manfaat alat bantuan perubatan hingga RM20,000 untuk setiap individu selain insentif selesai rawatan kanser RM1,000 dan insentif pengangkutan maksimum RM500 bagi Semenanjung Malaysia dan RM1,000 (Sabah, Sarawak dan Labuan).
“Fasiliti semua sudah ada, cuma nak mereka hadirkan diri sahaja. Manfaat di bawah PekA B40 sangat baik, alat bantuan perubatan ini bukan murah, kalau nak kena keluar duit sendiri, golongan B40 ramai tidak mampu. Jadi program ini memahami masalah tersebut dan kita bagi bantuan,” kata beliau.