Golongan B40 boleh mohon subsidi yuran taska

Bernama
April 22, 2018 06:14 MYT
SHAHRIR: Semoga kerajaan akan terus menghulurkan bantuan seperti ini terutamanya dalam membantu ibu bapa muda.
Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB) menyeru lebih ramai ibu bapa daripada golongan berpendapatan sederhana (B40) untuk memohon subsidi yuran taska yang disediakan yayasan berkenaan.
Pengerusi YBJB Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata ini adalah satu inisiatif daripada kerajaan untuk membantu golongan ibu bapa dengan menyediakan pendidikan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak dalam usaha meringankan kos sara hidup mereka.
"Melalui skim ini, ibu bapa hanya perlu membayar yuran taska RM150 sebulan berbanding kos di luar sana RM250. Kita menyeru lebih ramai pengusaha taska dalam kawasan MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru) untuk berdaftar dengan YBJB agar lebih ramai golongan ibu bapa mendapat manfaat ini.
"Kita ada peruntukan RM500,000 dan sehingga kini, kita ada dua taska yang berdaftar dengan YBJB," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Taska Muafakat YBJB dan penyampaian subsidi yuran taska bagi B40 di Pangsapuri Desa Dato Hajjah Hasnah, di sini, pada Ahad.
Seorang penerima bantuan, Norhana Nimat berkata dia amat gembira dan terharu dengan bantuan yang diterimanya dan berterima kasih kepada YBJB atas bantuan tersebut.
"Saya gembira dan bersyukur dengan bantuan yang disalurkan sebab kami daripada keluarga kurang berkemampuan, jadi dengan bantuan seumpama ini sekurang-kurangnya dapat meringankan kos sara hidup kami lima beranak.
"Saya berharap kalau boleh bantuan yang baik seperti ini diperluaskan lagi kepada orang lain yang senasib dengan saya agar nasib mereka juga terbela," kata wanita berusia 30 tahun itu.
Pendapat sama turut dikongsi Noorisnani Zanaria, 35, yang melihat bantuan itu amat berguna terutamanya kepada golongan ibu bapa muda yang menetap di kawasan bandar.
"Bantuan ini memang meringankan beban kami ibu bapa yang berpendapatan rendah sebab sekarang saya serta suami bekerja, dan terpaksa menghantar anak-anak ke pusat asuhan yang kosnya sangat tinggi sebab kita duduk di kawasan bandar raya.
"Semoga kerajaan akan terus menghulurkan bantuan seperti ini terutamanya dalam membantu ibu bapa muda yang baru ingin memulakan kehidupan di kawasan bandar raya seperti Johor Bahru," katanya.
-- Bernama
#B40 #Majlis Bandaraya Johor Bahru #MalaysiaMemilih #MBJB #pendapatan rendah #shahrir samad #Yayasan Bandaraya Johor Bahru #YBJB #yuran taska
;