Golongan antivaksin individu berfikiran negatif, tertutup minda - Pakar

Bernama
Jun 6, 2021 14:14 MYT
Kebanyakan golongan antivaksin yang terdiri daripada mereka berumur antara 25 dan 44 tahun itu akan cuba menguatkan pendapat mereka dengan cara mempengaruhi orang lain. - Gambar fail
ALOR SETAR: Golongan antivaksin merupakan individu berfikiran negatif dan tertutup minda terhadap pandangan orang lain sekali gus sentiasa menganggap diri mereka betul, kata pakar.
Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf berkata, golongan itu akan terus mempertahan akan pendirian mereka walau 'disumbat' dengan pelbagai penjelasan oleh pihak berkuasa.
Untuk menangani golongan ini, penjelasan yang diberikan itu harus berupaya mencabar pendirian yang dipegang mereka, katanya kepada Bernama.
"Satu daripada usaha adalah dengan menukar 'pre-conceived thought' atau idea negatif atau pengalaman buruk yang dialami dengan pendekatan kognitif. Dalam konteks ini, penerangan berkaitan pandemik COVID-19 dan vaksin perlu dilibatkan usaha bagi mencabar pemikiran dan emosi tidak betul tersebut," katanya yang ditemui baru-baru ini.
Abdul Razak berkata maklumat terlalu banyak dalam media sosial sehingga mengelirukan masyarakat juga antara faktor golongan antivaksin tidak mempercayai maklumat pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan (KKM).
"Kekeliruan dalam masyarakat termasuk pemahaman maksud vaksin. Ini mungkin disebabkan kita jarang berhadapan dengan pandemik sebegini. Masyarakat jarang menerima vaksin, jadi apabila pemahaman kurang berkaitannya, maka pelbagai persepsi negatif dicetuskan," katanya.
Beliau berkata pemikiran 'optimistic bias' iaitu beranggapan mereka tidak akan dijangkiti COVID-19 selepas divaksin juga menyebabkan ada masyarakat tidak mempercayai keberkesanan vaksin, apatah lagi selepas mengetahui kononnya ada kesan buruk vaksin yang tular menerusi media sosial.
"Apabila terlalu banyak sangat yang bercerita negatif tentang kesan vaksin seperti masih dijangkiti COVID-19 walaupun sudah divaksin, ada yang meninggal selepas ambil vaksin, maka masyarakat tidak mempercayai vaksinasi akan membantu mereka terpelihara daripada COVID-19. Dalam pada itu, kepercayaan kepada informasi lain yang tular pula menjadi sandaran untuk melindungi mereka," katanya.
Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Pantai Sungai Petani Dr Mohammad Farris Iman Leong Abdullah berkata golongan antivaksin tidak suka mendapatkan informasi mengenai COVID-19 dan vaksin daripada sumber sahih sebaliknya gemar memperoleh maklumat berkaitan menerusi media sosial meskipun tanpa bukti kukuh.
"Mereka juga gemar menyebarkan khabar angin yang diperoleh menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApp kepada orang lain melalui platform sama," katanya.
Beliau berkata mengikut kajian dari segi psikologi, golongan antivaksin lebih mementingkan pendapat mereka sekali gus tidak mempercayai pihak berkuasa dan pakar.
"Mereka tidak percaya kepada golongan seperti saintis, kerajaan dan pakar perubatan serta kesihatan. Mereka juga percaya jika mereka memberi kepercayaan penuh terhadap doa mereka, tuhan akan makbulkan dan mereka tidak akan dijangkiti (COVID-19) dan sentiasa selamat walaupun tidak mengambil vaksin," katanya.
Dr Mohammad Farris Iman berkata kajian juga menyatakan, kebanyakan golongan antivaksin yang terdiri daripada mereka berumur antara 25 dan 44 tahun itu akan cuba menguatkan pendapat mereka dengan cara mempengaruhi orang lain.
Golongan ini akan menggunakan media sosial bagi menularkan pandangan mereka untuk mendapatkan sokongan lebih besar, katanya.
-- BERNAMA
#antivaksin #vaksin #vaksinasi #imunisasi #abdul razak abd manaf #psikologi #COVID-19 #pandemik
;