Golongan agama bukan untuk mengiyakan kesalahan ahli politik - Dr Maza

Mariah Ahmad
Mac 5, 2016 16:53 MYT
MOHD ASRI: Kadang-kala, memisahkan agama dari politik supaya nama Tuhan tidak menjadi mainan ahli politik, itu lebih baik dari kononnya berpolitik dengan nama agama sehingga nama Tuhan menjadi mainan para penguasa. - Gambar fail
Peranan golongan agama bukan mencari dalil bagi memberi justifikasi tindakan mereka yang tidak jujur terhadap rakyat, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Beliau berkata jika peranan golongan agama sekadar untuk mengiyakan kesalahan ahli politik, pastinya agama dalam keadaan musibah dan bukan satu rahmat untuk manusia.
Jelasnya, tindakan itu hanya akan membenarkan ideologi Karl Marx, bahawa agama merupakan candu masyarakat.
“Segala penindasan dan penyelewengan dihalalkan atas nama Tuhan. Sedangkan Tuhan yang sebenar Maha Suci dari itu semua.
“Dalam negara maju yang tinggi integriti, tiada paderi ataupun syeikh ataupun mufti yang sering muncul sepentas dengan penguasa.
“Namun, ketelusan dan integriti mereka itu banyak yang memenuhi maksud amanah dan urus tadbir yang baik yang Tuhan kehendaki daripada seorang penguasa,”katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

AGAMA DAN MAINAN POLITIKJika peranan golongan agama itu sekadar untuk meng'iya'kan kesalahan penguasa ataupun mencari...

Posted by DrMAZA.com on
Beliau berkata memisahkan agama dari politik supaya nama Tuhan tidak menjadi mainan ahli politik itu lebih baik dari kononnya berpolitik dengan nama agama sehingga nama Tuhan menjadi mainan ahli politik.
“Malangnya, indek rasuah dan urus tadbir berada di paras yang mengecewakan. Padahal, Islam melaknat perasuah dan memerintahkan urus tadbir yang baik.
“Maka, jangan hairan jika terdapat umat Islam sendiri yang hilang keyakinan terhadap agamanya. Ini kerana golongan agama sendiri ada yang telah menjadikan agama bagaikan candu yang mengkhayalkan rakyat dari nilai yang sebenar,”katanya.
#Karl Marx #Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin #peranan golongan agama
;