Golf GTI, Audi TT yang dicuri ditemui di Johor
Aizat Sharif
Januari 9, 2013 19:08 MYT
Januari 9, 2013 19:08 MYT
Dua kereta mewah yang dilarikan dari pusat pameran dan pusat servis kereta di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi, Sabtu lepas telah ditemui semula di Johor semalam.
Kereta mewah Volkswagen Golf GTI dan Audi TT ditemui dalam jarak 40 kilometer di dua lokasi berbeza iaitu di tempat letak kereta di sebuah pasaraya di Skudai dan Taman Seri Austin di bandaraya Johor Baru.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata kereta-kereta yang dicuri itu ditemui sekitar jam 11.30 pagi hasil risikan polis.
“Kereta Volkswagen itu ditemui dalam keadaan tidak berkunci sementara kereta Audi pula berkunci dan kedua-duanya terpaksa ditunda semula ke Kuala Lumpur,” kata Ku.
Ku menambah nilai pasaran kereta Volkswagen Golf GTI itu ialah RM180,000 sementara bagi kereta Audi TT pula berharga RM200,000.
“Kita mengesyaki adanya penglibatan ‘orang dalam’ dalam kes ini kerana cara kereta itu dilarikan sangat mudah dan kami masih menyiasat dari sudut keselamatan bangunan pameran ini,” kata beliau.
Menurut Ku, kawalan keselamatan yang dijalankan di tempat tersebut juga mengecewakan kerana kereta-kereta mewah yang diletakkan disitu tiada pengawasan dan pemantauan yang kukuh.
Sehubungan itu, polis memburu tiga lelaki termasuk suspek utama kes tersebut yang dikenali sebagai Mohd Azri Mohd Kassim, 32 sementara dua lagi dikenali sebagai Abdul Raof Abdul Aziz, 44 dan Damanhuri Mohamad, 36.
Mohd Azri adalah juga suspek utama kes melarikan kereta Porsche Panamera di sebuah bilik pameran kereta di Bukit Bintang sekitar Ogos tahun lalu dan telah ditangkap selepas itu.
Dia kemudiannya dituduh di mahkamah dan telah diberikan jaminan sebanyak RM15,000.
Suspek sepatutnya menghadiri perbicaraan semula kesnya di mahkamah pada hari ini namun ianya telah ditunda pada 5 Februari ini.
Sumber polis pula berkata kereta-kereta tersebut akan diseludup masuk untuk pasaran negara Singapura berdasarkan terdapat satu nombor plat negara jiran itu yang dipercayai palsu dipasang pada salah sebuah kereta tersebut.
Pada Sabtu lepas, suspek telah pergi ke sebuah pusat pameran kereta dan pusat servis kereta di Jalan Chan Sow Lin.
Mereka berpura-pura membawa sebuah plat pendaftaran kereta dari Puspakom untuk diletakkan pada salah sebuah kereta tersebut.
Pengawal keselamatan bagaimanapun tidak percaya dengan dakwaan mereka dan telah bertindak menghalau suspek dari premis itu.
Suspek kemudian memasuki premis berkenaan dari laluan sekitar tempat tersebut dan berjaya menemui kereta Volkswagen dan Audi itu sebelum bertindak melarikan kereta itu.
Dalam kedua-kes, terdapat kunci yang sengaja dibiarkan didalam kereta itu.