Goldman Sachs ditekan untuk perbaiki sistem dalaman - Financial Times

Ibrahim Sani
November 26, 2018 11:49 MYT
Goldman Sachs raih keuntungan RM2.4 bilion hasil dari urusan mereka mengaturcarakan bon dan sukuk 1MDB pada 2012 dan 2013. Gambar hiasan
Bank pelaburan yang terkait dengan skandal 1MDB kini dalam keadaan parah, kata akhbar kewangan Financial Times (FT).
Goldman Sachs Group Inc telah diarahkan oleh institusi pengawalan Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaiki cara mereka mengendali pengurusan risiko (risk management) mereka.
Perkara ini terbangkit setelah Ketua Pegawai Eksekutif Goldman David Solomon mengakui bahawa beliau rasa sangat bersalah tentang penglibatan bank itu dalam skandal 1MDB.
Menurut dokumen yang telah dilihat oleh FT, Goldman juga diarahkan untuk memperkayakan laporan berkaitan dengan perbincangan dalaman antara pegawai dalaman berkenaan dan urusan perbankan mereka.
Ia susulan bank perbankan itu terkait dengan skandal 1MDB, melalui pengaturcaraan bon dan sukuk 1MDB yang meraih wang pelaburan sebanyak RM25 bilion (US$6.5 bil).
BACA: Bagaimana Goldman Sachs terpalit dalam skandal 1MDB
Goldman telah mendapat keuntungan sebanyak RM2.4 bilion (US$600 juta) dari tugasan itu.
Angka ini adalah antara pendapatan tertinggi yang pernah diraih oleh mana-mana bank pelaburan di dunia yang pernah terhasil dari satu perbankan.
Lihat: Denda terhadap Goldman Sachs adalah permulaan yang lebih besar - kata penganalisis
Goldman dilaporkan telah memperbaiki sistem dalaman mereka apabila menerima tekanan dari Bank Pusat New York.
Perubahan cara kerja dalaman mereka sebelum ini telah dipersetujui pada 2013, namun perkara ini tidak diketahui umum sehingga kini.
Bank Pusat New York telah memberitahu FT bahawa pihaknya tidak boleh memberikan perincian tentang cara pengawasan dalaman yang sedang dilaksanakan Goldman, tetapi FT mendakwa Goldman telah terus diberi tekanan untuk memperbaiki proses dalaman mereka.
Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Goldman Sachs di Asia Tenggara Tim Leissner telah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang dari 1MDB.
Akhbar Wall Street Journal pula sebelum ini melaporkan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Llyod Blankfein pernah bertemu Jho Low untuk berbincang tentang isu 1MDB.
Tambahan pula, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Malaysia akan menuntut semua bayaran yang pernah dibuat ke Goldman Sachs berkenaan dengan 1MDB.
Ini melibatkan bayaran sebanyak RM2.4 bilion yang dibuat oleh Malaysia ke bank pelaburan itu.
#1MDB #Amerika #Amerika Syarikat #David Solomon #innes #Jho Low #Lim Guan Eng #Lloyd blankfein #Najib Razak #New York #oanda #pelaburan #Reserve #Tim Leissner #Wall Street Journal
;