Gobok Makanan bantu masyarakat terputus bekalan makanan di Mersing

Fareez Azman
Februari 21, 2021 15:55 MYT
Menurut Muhammad Syukri Ibrahim, barangan keperluan yang dikumpul dalam Gobok Makanan merupakan hasil sumbangan orang ramai dan ahli. - - Gambar Facebook Ikatan Anak Mersing
KUALA LUMPUR: Memahami keperitan yang dilalui oleh mereka yang tinggal di kawasan yang terlibat dalam pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga terputus bekalan makanan, Yayasan Makmur Mersing bersama Ikatan Anak Mersing melancarkan Gobok Makanan meringankan beban masyarakat di Mersing, Johor.
Menurut Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim, barangan keperluan yang dikumpul dalam Gobok Makanan merupakan hasil sumbangan orang ramai dan ahli.
"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang... melihat banyak keluarga yang terkesan dengan PKP 2.0 dan ada yang hilang punca pendapatan, kami terpanggil untuk memulakan inisiatif GOBOK MAKANAN bagi masyarakat sekitar Mersing.
"Kepada warga Mersing, kami menyediakan beras (5 kg) dan telur ayam (1 papan) sebagai bantuan segera kepada keluarga yang terputus bekalan makanan atau punca pendapatan... inisiatif ini hasil sumbangan warga prihatin dan duit kocek antara kami," kata Muhammad Syukri dalam catatan di Facebooknya.
Jelasnya, bagi memudahkan penghantaran bantuan kepada golongan memerlukan kata Muhammad Syukri, mereka hanya perlu menghubungi Hotline Gobok Makanan di talian 014-6473937.
"Pihak kami akan aturkan penghantaran ke rumah penerima... semoga usaha yang kecil ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung dan mohon warganet kongsikan GOBOK MAKANAN ini supaya dapat dipanjangkan rezeki buat mereka yang memerlukan...
"Buat warga budiman yang turut mahu menyumbang, kami juga amat alu-alukan dan sedia bekerjasama... 'Dalam rezeki kita, ada rezeki mereka'," kata beliau lagi.
#perintah kawalan pergerakan #PKP 2 0 #presiden #Ikatan Anak Mersing #Yayasan Makmur Mersing #Ahad #hilang pendapatan #Terputus bekalan makanan #Masyarakat #Mersing
;