Gobind pantau projek Demonstrasi 5G di Langkawi
Bernama
Januari 18, 2020 05:09 MYT
Januari 18, 2020 05:09 MYT
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo melawat dan memantau Projek Demonstrasi 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), menjelang majlis perasmian projek demonstrasi itu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di pulau peranginan itu, hari ini (Ahad).
"Antara pihak yang akan mempamerkan penggunaan teknologi 5G mereka adalah @edotcoGroup @Celcom @umobile @digitelco @Maxis @myTMgroup.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi adalah salah satu lokasi di mana demonstrasi penggunaan teknologi 5G akan diadakan," katanya dalam catatan terbaru di laman Twitter rasmi beliau.
Projek demonstrasi itu akan melibatkan 11 penggunaan secara langsung, antaranya di Pusat Arahan 5G Langkawi, Hospital Sultanah Maliha dan LTAL.
Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, di peringkat domestik, pelaksanaan teknologi 5G yang amat ditunggu-tunggu itu dijangka menyumbang sehingga lebih RM12.7 bilion kepada ekonomi negara antara 2021 dan 2025 dan menjana lebih 39,000 pekerjaan baharu.
Perjalanan teknologi 5G dimulakan dengan penubuhan Pasukan Khas 5G Nasional pada November 2018, yang terdiri daripada 114 ahli melibatkan penyedia perkhidmatan, akademia, kementerian dan agensi.
-- BERNAMA
#ekonomi
#Gobind Singh Deo
#Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia
#Langkawi
#Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi
#LTAL
#Pasukan Khas 5G Nasional
#Projek Demonstrasi 5G
#teknologi 5G