Gobind, Kula Segaran serah pada PM isu Zakir Naik
Astro Awani
Ogos 14, 2019 14:48 MYT
Ogos 14, 2019 14:48 MYT
AHLI Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kenyataan kontroversi pendakwah Dr Zakir Naik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kebimbangan itu, jelas kedua-dua Ahli Parlimen DAP itu dibangkitkan mereka dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.
“Kami telah suarakan pendirian kami iaitu tindakan mesti diambil dan Zakir Naik tidak boleh lagi dibenarkan tinggal di Malaysia.
“Perdana Menteri ambil maklum kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk membuat pertimbangan dan seterusnya membuat keputusan secepat yang mungkin untuk menangani masalah ini,” kata kedua-dua menteri itu dalam kenyataan bersama yang diedarkan.
Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Kula Segarsan yang juga Menteri Sumber Manusia juga menegaskan bahawa Zakir Naik harus diusir dari Malaysia ekoran kenyataannya mengenai penganut Hindu di negara ini.
Kedua-dua menteri berkenaan juga menegaskan kebimbangan yang disuarakan banyak pihak mengenai ceramah dan kenyataan yang dibuat Zakir Naik yang boleh mencetuskan kekacauan agama.
Pada Selasa, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak boleh mengusir Zakir Naik kerana wujud ancaman bunuh terhadap penceramah kontroversi itu.
Dalam masa sama, Dr Mahathir berkata, sekiranya ada mana-mana negara yang mahu menerima penceramah berasal dari India itu, maka mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian.
BACA: 'Kalau hantar Zakir Naik pulang nanti dia kena bunuh' - Tun M
#ahli Parlimen
#Gobind Singh Deo
#Ipoh Barat
#Kula Segaran
#Mahathir Mohamad
#pendakwah
#Perdana Menteri
#Puchong
#usir Zakir Naik
#Zakir Naik