Gobind gesa MB Selangor ambil langkah proaktif selesai kemelut rampasan Bible

Aizat Sharif
April 8, 2014 15:34 MYT
Menteri Besar Selangor digesa supaya mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan kemelut insiden rampasan kitab Bible dari Persatuan Bible Malaysia oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) pada Januari lalu.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan medianya menegaskan bahawa terdapat desakan ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim untuk membantu dalam memulangkan semula kitab Bible yang dirampas dari persatuan tersebut.
“Bagi saya, Khalid perlu menerangkan bahawa perkara ini adalah dalam perhatian Peguam Negara kerana ianya melibatkan penyiasatan yang masih lagi berlangsung. Khalid perlu mengambil langkah proaktif dan tidak hanya sekadar meletakkan keseluruhan perkara tersebut kepada pihak Peguam Negara seorang untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Gobind menegaskan Khalid perlu mengambil langkah dengan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara dalam usaha mendapatkan titik noktah kepada penyiasatan dalam hal tersebut.
“Beliau (Khalid) tidak boleh lari dari perkara ini kerana ianya melibatkan masalah hal-ehwal dalam negeri dan juga JAIS yang membuat serbuan itu,”.
Gobind turut mengkritik Peguam Negara yang dikatakan masih lagi berlengah-lengah untuk menentukan sama ada terdapat bukti yang kukuh untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah atau tidak.
“Beliau sudah tentu faham bahawa kes ini perlu ditangani dengan lebih teliti tanpa sebarang usaha untuk melengah-lengahkannya dan apa yang saya nampak adalah keputusan penyiasatan terhadap kes ini seharusnya sudah selesai lama dahulu,”.
Pada 2 Januari lalu, JAIS telah menyerbu premis yang digunakan oleh Persatuan Bible Malaysia dan merampas sejumlah besar kitab Bible yang terdapat dalam premis tersebut untuk siasatan.
#gobind singh #kitab Bible #MB Selangor
;