Gobind cadang perkenal akta baharu bendung buli siber

Ridauddin Daud
Julai 13, 2024 15:07 MYT
Menteri Digital, Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu berkaitan buli siber diperkenalkan, meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial sekiranya berlaku kes tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Digital, Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu berkaitan buli siber diperkenalkan, meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial sekiranya berlaku kes tersebut.

Ringkasan AI
  • Menteri Digital Gobind Singh Deo mencadangkan undang-undang baharu mengenai buli siber, meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial.
  • Beliau menegaskan bahawa undang-undang ini penting untuk mencegah penyalahgunaan dan mengambil tindakan segera jika berlaku kes buli siber.
  • Gobind menyatakan bahawa kementeriannya akan menyokong usaha untuk memperkukuhkan perundangan sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi menangani isu buli siber dengan serius.

Menurutnya, penggubalan itu adalah bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian berterusan.
Tambah beliau, pengenalan akta baharu menunjukkan kerajaan serius dalam hal mencari jalan penyelesaian untuk masalah buli siber.
“Kementerian saya akan menyokong usaha-usaha Menteri Komunikasi untuk memperkukuhkan lagi perundangan yang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu ke arah tersebut dalam masa hadapan.
“Saya amat yakin bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan keadilan dapat dilaksanakan untuk mangsa-mangsa.
“Kementerian saya juga sedia membantu di dalam perkara ini sekiranya sebarang bantuan diperlukan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, kes buli siber mesti dipandang serius dan ditangani dengan segera.
“Kita harus memastikan bahawa undang-undang digubal untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaannya dan sekiranya berlaku, tindakan pantas harus diambil.
“Undang-undang sedia ada, khususnya Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Komputer, memang wujud dan boleh dikuatkuasakan,” ujarnya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Jumaat berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak segera menghentikan buli siber yang berleluasa.
Menurutnya, Anwar dalam mesyuarat Kabinet meluahkan kebimbangan dan tidak puas hati terhadap perlakuan buli di alam maya sehingga menyebabkan seorang pempengaruh membunuh diri.
#buli siber #Gobind Singh Deo #Menteri Digital #media sosial