GMMF kutuk serangan ganas di Nice
Bernama
Julai 16, 2016 08:47 MYT
Julai 16, 2016 08:47 MYT
Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) melahirkan amat sedih dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas di bandar Nice, Perancis semasa sambutan Hari Bastille, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 80 orang termasuk beberapa orang kanak-kanak.
Ketua Pegawai Eksekutif GMMF Nasharudin Mat Isa berkata tindakan keganasan yang meragut nyawa mereka yang tidak berdosa dan kalangan muda pada Khamis, adalah satu jenayah dan tidak dapat dijustifikasikan dan tidak harus sama sekali dikaitkan dengan mana-mana warganegara, etnik atau agama.
"Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global mengulangi gesaannya tentang perlunya membawa pelaku, penganjur dan pembiaya jenayah tercela itu ke muka pengadilan," kata beliau dalam satu kenyataan.
Nasharudin menegaskan bahawa GMMF berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Perancis atas semangat solidariti dan mendoakan semoga satu barisan bersatu dibentuk bagi memerangi segala bentuk keganasan dan ekstremisme yang ganas.
Beliau merakamkan simpati dan ucapan takziah yang mendalam kepada anggota keluarga mangsa insiden tersebut.