GMMF kutuk insiden serangan di Indonesia
Bernama
Mei 16, 2018 05:35 MYT
Mei 16, 2018 05:35 MYT
Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) pada Rabu mengutuk sekeras-kerasnya siri serangan pengecut oleh pengganas di Indonesia.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, dalam kenyataan di sini, berkata perbuatan keji itu menyebabkan banyak kecederaan dan membawa kesengsaraan kepada orang awam serta anggota pasukan penguatkuasa undang-undang.
"Setakat ini, enam orang terbunuh dalam rusuhan di sebuah penjara pada 9 Mei, manakala 25 orang maut akibat serangan terhadap gereja dan ibu pejabat polis di Surabaya pada 13 dan 14 Mei. Terbaru, lima orang terbunuh dan banyak lagi yang cedera dalam serangan terhadap balai polis di Pekanbaru pagi ini." katanya.
Nasharudin berkata apa jua tindakan keganasan adalah tidak wajar dilakukan dan penyerang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana agama.
"GMMF ingin menyeru semua pengamal kesederhanaan daripada semua agama di dunia supaya menyokong usaha kami untuk memerangi dan mencegah keganasan serta ekstremisme melampau, termasuk melalui usaha memupuk sikap kesederhanaan dan kewujudan secara bersama.
"Kami mengutuskan simpati mendalam dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan Indonesia." katanya.
--BERNAMA