Global Royalty mohon kes barang kemas Rosmah diputuskan tanpa bicara

Sinar Harian
Ogos 11, 2023 14:45 MYT
Plaintif mendakwa, Rosmah secara berterusan gagal untuk menjelaskan tuntutan barang kemas terbabit. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis supaya kes tuntutan 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, diputuskan melalui penghakiman terus.
Penghakiman terus ialah prosedur di mana tuntutan saman itu diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terbabit atau undang-undang tidak dipertikaikan.
Syarikat itu selaku plaintif membuat permohonan berkenaan termasuk suatu perintah mandatori dikeluarkan supaya membayar lebih RM67.5 juta (AS$14,567,270) melalui firma guaman Tetuan David Gurupatham & Koay.
Menerusi dokumen yang diperoleh, Global Royalty menuntut bayaran itu sekiranya barang kemas mereka tidak dikembalikan dalam keadaan baik, 14 hari dari tarikh penghakiman.
Ini kerana plaintif mendakwa, Rosmah secara berterusan gagal untuk menjelaskan tuntutan barang kemas terbabit.
“Defendan tidak mempunyai pembelaan yang bermerit dan bersifat penafian kosong semata-mata.
“Oleh itu, tiada keperluan prosiding perbicaraan dibuat kerana isu-isu yang dibangkitkan oleh defendan tidak memerlukan penilaian kredibiliti saksi, sama ada untuk dilihat, dinilai atau didengar oleh mahkamah,” kata plaintif menerusi dokumen terbabit.
Selain itu syarikat ini berkata, pembelaan atau isu yang dibangkitkan oleh Rosmah, jelas tidak mampan di sisi undang-undang atau berdasarkan fakta, sekali gus mengelakkan perlunya perbicaraan dijalankan.
Tanpa prosiding itu kelak, plaintif berkata, ia akan menjimatkan masa dan kos memandangkan tiada isu boleh dibicarakan dalam kes ini.
Dalam pada itu, Rosmah turut memfailkan permohonan supaya Global Royalty menyediakan jaminan kos sebanyak AS$1 juta (RM4.59 juta) kepada mahkamah dan memohon saman itu dibatalkan jika syarikat terbabit gagal berbuat demikian.
Rosmah berkata, kos itu perlu disediakan kerana Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian timbal balik bagi syarikat yang berpangkalan di luar Negara.
“Jika saya menang kes ini, saya akan menghadapi kesukaran kerana mereka bukan syarikat tempatan,” katanya.
Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman saman.
Dalam penyataan tuntutannya, Global Royalty mendakwa Rosmah menandatangani nota konsainan (kiriman) mengakui penerimaan barang kemas itu mengikut terma dan syarat seperti dinyatakan pada 22 Mei 2018.
Plaintif berkata, ia memaklumkan membuat beberapa panggilan telefon kepada isteri bekas perdana menteri itu memintanya untuk mengembalikan barang kemas terbabit.
Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman kepada Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya. - Sinar Harian
#Rosmah Mansor #barang kemas #Global Royalty #kes mahkamah
;