Global kini perhatikan Malaysia, sikap terbuka tapi tegas jadi tarikan - PM Anwar

Harits Asyraf Hasnan
November 19, 2024 18:45 MYT
Perdana Menteri bercakap pada sidang media bersama media Malaysia seiring lawatan kerja ke Brazil sempena Sidang Kemuncak G20 di Brazil. - Foto PMO
RIO DE JANEIRO: Malaysia kini semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, hasil daripada pendirian diplomatik dan dasar perdagangan yang inklusif serta tegas.

Ringkasan AI
  • Peningkatan Perhatian Antarabangsa: Malaysia semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa hasil daripada pendirian diplomatik dan dasar perdagangan yang inklusif serta tegas.
  • Penghargaan dan Hubungan Antarabangsa: Penyertaan Malaysia dalam pelbagai persidangan dan lawatan rasmi menunjukkan betapa pentingnya pandangan negara dalam membentuk hubungan antarabangsa, dengan banyak negara meminta hubungan ditingkatkan.
  • Dasar ASEAN dan Prinsip Nasional: Malaysia mengutamakan ASEAN centrality dan hubungan terbuka dengan semua negara sambil kekal tegas dalam mempertahankan prinsip serta kepentingan nasional.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan Malaysia dalam pelbagai persidangan dan lawatan rasmi menunjukkan betapa pentingnya pandangan negara dalam membentuk hubungan antarabangsa.
“Malaysia diberi pertimbangan dan perhatian yang baik. Sama ada persidangan di Riyadh, lawatan di Kaherah, kemudian di Peru, dan kini di G20 Brazil, saya lihat memang suara kita serta pandangan kita dihargai. Banyak negara yang meminta hubungan kita ditingkatkan dan mengundang kita ke negara mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama media Malaysia seiring lawatan kerja ke Brazil sempena Sidang Kemuncak G20 di Brazil.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Emmanuel Macron dari Perancis dan Presiden Cyril Ramaphosa dari Afrika Selatan, telah menyatakan hasrat untuk melawat Malaysia pada awal tahun depan.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa perhatian tersebut selari dengan dasar Malaysia yang mengutamakan ‘ASEAN centrality’ dan hubungan terbuka dengan semua negara.
Pada masa sama, Malaysia kekal tegas dalam mempertahankan prinsip serta kepentingan nasional.
“Pendirian kita jelas – berdagang dan berkawan dengan semua, tetapi ada pendirian yang tegas yang kita tidak tolak ansur,” tambah beliau.
Lawatan ke Brazil mengakhiri siri jelajah antarabangsa Perdana Menteri yang bermula di Riyadh, Arab Saudi dan Kaherah, Mesir sebelum ke Lima, Peru bagi menghadiri Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) dan berakhir di Rio De Janeiro, Brazil sebagai negara jemputan bagi Sidang Kemuncak G20.
#Anwar Ibrahim #Malaysia jadi perhatian dunia #lawatan rasmi #G20
;