GLC tidak berdaya saing, merugikan mungkin ditutup - MB Johor
Bernama
September 27, 2018 05:00 MYT
September 27, 2018 05:00 MYT
Kerajaan Negeri Johor tidak teragak-agak untuk menutup syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sekiranya didapati tidak berdaya maju dan tidak memberi keuntungan kepada kerajaan.
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata ini kerana terdapat beberapa GLC di negeri ini yang dilihat tidak mendatangkan hasil dan lari dari tujuan asal penubuhan iaitu untuk membantu kerajaan tetapi sebaliknya membawa kerugian.
"Contohnya, baru-baru ini JBiotech, ada dua syarikat (di bawahnya) yang saya arahkan tutup kerana tidak berdaya saing dan beberapa GLC lain. Ada syarikat yang aset besar, tapi tak menjana pendapatan kepada kerajaan, sebaliknya kerugian tapi syarikat lain (GLC lain) kena tampung (kerugiannya).
Tujuan dan matlamat kerajaan tubuhkan GLC ini adalah untuk membantu kerajaan, membantu dalam soal infrastruktur, membina sekolah dan sebagainya tapi kalau dia tidak datangkan hasil, kerajaan pulak yang tanggung hutang, sebaliknya dia tak mendatangkan faedah," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Osman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kerajaan negeri akan membuat semakan semula terhadap kesemua GLC di negeri ini.
Menurut Osman, kakitangan GLC juga akan dipantau sekiranya didapati tidak produktif walaupun mendapat bayaran yang tinggi.
"Kesemua GLC juga diberi tempoh selama dua tahun untuk menyelesaikan masalah mereka serta menghasilkan keuntungan, namun sekiranya masih gagal, ia turut akan dijual kepada pihak yang berminat atau berdepan risiko ditutup," katanya.
Terdahulu, Osman melawat rumah penduduk-penduduk yang terjejas banjir di Kampung Sungai Suluh, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM14 juta bagi tujuan melebarkan Sungai Suluh sebagai langkah jangka masa panjang dalam mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, ia melibatkan kerja-kerja melebarkan sungai dari lima meter ke 12 meter, serta menaik taraf dan meninggikan paras jambatan sedia ada bagi melancarkan pengaliran air.
-- BERNAMA