GLC, peniaga disaran terus bayar zakat bantu asnaf, golongan sasar
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 28, 2020 09:28 MYT
Oktober 28, 2020 09:28 MYT
KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkaitan perniagaan di Sabah yang mahu menunaikan zakat perniagaan digalakkan terus berbuat demikian.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, penyaluran bantuan kepada golongan asnaf dan memerlukan akan lebih meluas melalui wang zakat yang dibayar pihak berkaitan kepada Pusat Zakat Sabah (PZS).
Katanya, semua sumbangan berkenaan sangat perlu diselaras, khususnya dalam hal-hal bantuan kebajikan, termasuk yang sedang digerakkan PZS sepanjang musim penularan COVID-19 ini.
"Justeru, saya menyeru GLC dan badan-badan kerajaan yang terlibat dalam perniagaan supaya menunaikan zakat perniagaan mereka kepada PZS," katanya.
Terdahulu, beliau hadir bagi menyaksikan majlis penyerahan bantuan khas petugas mesra ibadah kepada Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) oleh PZS di sini semalam.
Pada majlis sama, Mohd Arifin turut menyaksikan penyerahan bantuan khas waris pesakit COVID-19 secara 'one off' sebanyak RM1,000, yang melibatkan peruntukan berjumlah RM100,000.
Ia termasuk sumbangan untuk petugas mesra ibadah yang sebelum ini disebut sebagai petugas fardu kifayah di hospital-hospital.
"Kita sediakan RM500 secara 'one off' kepada mereka, dan jumlahnya adalah sebanyak RM128,000.
"Selain itu, sumbangan RM3,000 kepada 100 buah masjid terpilih di seluruh Sabah turut diserahkan hari ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000."katanya.
Tambahnya, peruntukan bantuan tersebut telah digerakkan secara bersama oleh PZS dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS) sejak Mac lalu.
"Fasa pertama adalah pada Mac dan April dengan sumbangan berjumlah RM5 juta. Fasa kedua adalah pada Mei dan Jun dengan sumbangan berjumlah RM4.9 juta. Terkini, fasa ketiga Oktober dan November, dengan jumlah RM3.2 juta," katanya.
#Kota Kinabalu
#kerajaan
#Islam
#GLC
#perubatan
#COVID-19
#Sabah
#zakat perniagaan
#Mohd Arifin Mohd Arif
#peniaga
#perniagaan
#bantuan
#sumbangan
#petugas mesra ibadah
#masjid