GLC diyakini lebih mampu tangani krisis berbanding sektor swasta - Kajian

Hafizi Rosli
Februari 2, 2021 13:21 MYT
Rakyat Malaysia percaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu untuk menguruskan situasi krisis lebih baik daripada syarikat di sektor swasta - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia percaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu untuk menguruskan situasi krisis lebih baik berbanding syarikat di sektor swasta.
Menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran, Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) dalam kajian terbaharunya melibatkan 4,000 responden, mendapati 49 peratus bersetuju syarikat GLC berupaya untuk menguruskan keadaan krisis.
Manakala sektor kerajaan pula meraih 48 peratus, syarikat telekomunikasi catat 42 peratus manakala syarikat kewangan dan media masing-masing raih 40 dan 38 peratus kepercayaan.
Kajian turut menyenaraikan beberapa entiti syarikat yang mampu menangani krisis termasuk meningkatkan keupayaan dan Petronas mendominasi senarai dengan 65 peratus.
Ia diikuti Maybank (62 peratus), McDonalds (60 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP (60) peratus manakala Perodua (59 peratus).
Turut disenaraikan adalah prestasi terbaik dalam beberapa kategori termasuk komunikasi secara terbuka yang diraih oleh Maybank dan POS Malaysia.
Bagi kategori prestasi kewangan yang kukuh, Maybank sekali lagi mencatat rekod manakala bagi kategori sektor khidmat pelanggan diraih McDonald sementara kategori bagi sokongan komuniti setempat pula milik KWSP.
Kajian ini dijalankan melalui temu bual secara bersemuka bersama 4,000 responden antara Jun dan November tahun lalu.
Sebanyak 100 buah syarikat disenaraikan dalam tinjauan yang dilakukan ini.
#GLC #krisis #sektor swasta #KWSP #Petronas #Maybank #Media #Perodua
;