GLC, badan berkanun di Perak perlu pastikan tiada tanah terbiar - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 27, 2020 12:04 MYT
Ahmad Faizal menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Tahun Ketiga Persidangan DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Kerajaan Negeri Perak telah mengarahkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan badan-badan berkanun di negeri itu untuk memastikan tiada tanah-tanah yang terbiar.
Oleh itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan untuk menyewa tanah di bawah kerajaan atau GLC oleh golongan yang terjejas pendapatannya adalah amat dialu-alukan.
Menurutnya, ia juga selaras dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya negeri ini menjadi antara penyumbang utama kepada sekuriti makanan negara.
“Ini sekali gus membuka peluang kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat penularan pandemik COVID-19 untuk menjana pendapatan dalam bidang pertanian,” katanya ketika menjawab soalan Leong Cheok Keng (DAP-Malim Nawar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Terdahulu, Leong bertanya adakah kerajaan negeri sedia menimbangkan cadangan petani-petani di kawasannya untuk menyewa tanah-tanah tersebut bagi tujuan pertanian sehingga agensi berkenaan memerlukan tanah tersebut untuk kegunaan kerajaan.
Ahmad Faizal berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP), Perbadanan Menteri Besar dan lain-lain GLC negeri terbuka kepada cadangan sekiranya tapak yang dipohon masih belum mempunyai apa-apa komitmen atau belum sesuai untuk diusahakan.
Menurutnya, para petani atau individu yang berminat boleh mengemukakan permohonan bertulis kepada GLC yang berkaitan.
“Pihak kerajaan melalui jabatan dan agensi komited untuk menjayakan agenda ini.
“Kita bukan sahaja bersedia untuk membantu dari aspek penyewaan tanah, tetapi juga menawarkan khidmat nasihat teknikal, peluang pasaran dan kursus-kursus yang releven bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berjaya di negeri ini,” ujarnya.
#sewa #tanah #Menteri Besar #GLC #Ipoh #kerajaan #usahawan #Sultan Perak #COVID-19 #Leong Cheok Keng #tanah terbiar #terjejas pendapatan #sekuriti makanan #hilang pekerjaan #jana pendapatan #pertanian #petani
;