GKP 4.0: Kerajaan salur RM500 juta kepada PKS mikro, bayaran mulai 21 Sept
Hasimi Muhamad
September 17, 2021 18:12 MYT
September 17, 2021 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalur bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 sebanyak RM500 juta lagi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang akan mula dibayar pada Selasa ini (21 September) bagi menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih sejuta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.
"Bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September 2021 berjumlah RM500 dan November sebanyak RM500.
"Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.
"Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.
"Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Perdana Menteri, secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih sejuta juta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.
Justeru, Ismail Sabri berharap bantuan tersebut dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.
Kerajaan katanya, memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.
"Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai," kata Perdana Menteri.