GISB: Tindakan pisah kanak-kanak untuk siasatan menyeluruh - Saifuddin

Bernama
Oktober 11, 2024 17:16 MYT
Saifuddin berkata PDRM melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tindakan memisahkan kanak-kanak dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dengan ibu bapa mereka bertujuan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan siasatan mengikut lunas undang-undang dan fokusnya adalah eksploitasi wanita dan kanak-kanak.
"Bila polis selamatkan, polis berpandukan kepada 11 akta buat masa sekarang dan penyiasatan terus melebar.
"Kami fokus (siasatan) kepada eksploitasi wanita dan kanak-kanak termasuk potensi berlaku pelecehan seksual kanak-kanak mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama Ketua Pengarang Media di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai enam peguam bakal mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISB tidak mengikut undang-undang.
Saifuddin Nasution berkata PDRM ketika ini menjalankan siasatan berhubung GISB dengan cukup telus dan berhati-hati kerana ia melibatkan kepentingan awam.
"Setakat ini, 70 (kanak-kanak) sudah kami pulangkan kepada keluarga... sebahagian belum kami pulangkan, maksudnya belum selesai (siasatan).
"Ketika belum selesai, kalau ada ibu bapa yang nak temui (anak), sudah tentu polis kena urus perkara itu," katanya.
Semalam, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.
Mohd Shuhaily berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.
-- BERNAMA
#GISB #Saifuddin Nasution #pisahkan kanak-kanak #siasatan menyeluruh #Op Global
;