GISB: Tidak boleh semberono ambil tindakan - Zulkifli

Ridauddin Daud
November 6, 2024 13:45 MYT
Zulkifli berkata individu yang terkait dengan GlSB kini perlu mengikut ketetapan hukum dari segi akidah sebelum mereka yang ditahan didakwa mengikut lunas undang-undang. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh melakukan tindakan secara sembrono seperti melepas dan membebaskan semua kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Ringkasan AI
  • Kerjasama Pelbagai Agensi: Kes melibatkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global memerlukan kerjasama pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mengikut garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan.
  • Proses Mengikut SOP: Semua tindakan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang yang sedia ada untuk memastikan kebajikan semua pihak yang terlibat dilindungi.
  • Pendakwaan Berdasarkan Bukti dan Hukum: Individu yang terkait dengan GISB perlu melalui proses hukum dari segi akidah sebelum didakwa. Bukti yang sahih dan kuat diperlukan untuk pendakwaan, dan rujukan dibuat kepada ketetapan hukum yang ditetapkan oleh beberapa negeri dan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata, kes terbabit melibatkan banyak pihak dan perlu mengikut garis panduan ditetapkan setiap pihak berkuasa.
“Berdasarkan data dan laporan, sebenarnya semua pihak yang bersama-sama berkerjasama (kes) ini bukan satu pihak saja tapi merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan ramai lagi pihak-pihak terlibat.
“Sesungguhnya semua agensi ini ada garis panduan (SOP) dan mengikut lunas undang-udang sedia ada.
“Semuanya tidak boleh dilakukan secara semberono. Maka dengan itu kita memberikan satu kepercayaan dan keyakinan bahawa agensi ini melakukan tugas dengan sebaiknya selaras dengan melindungi kebajikan semua yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Zulkifli menjawab pertanyaan lisan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang bertanya berapa lama lagi anak-anak yang diselamatkan membabitkan GISB Holdings (GISB) akan ditahan.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata individu yang terkait dengan GlSB kini perlu mengikut ketetapan hukum dari segi akidah sebelum mereka yang ditahan didakwa mengikut lunas undang-undang.
Jelasnya, ketetapan hukum yang telah ditetapkan beberapa negeri termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan dijadikan rujukan sebelum pendakwaan dibuat.
“Selain daripada itu, bukti itu perlu dipastikan kesahihan dan kekuatan dari segi bukti itu sendiri.
“Jadi dari aspek ini kita serahkan kepada pihak berkuasa terutamanya pendakwaan syarie untuk meneliti perkara ini dengan lebih baik,” katanya.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Tuan Ibrahim yang ingin tahu mengapa mereka yang berkaitan dengan GISB tidak didakwa atas tuduhan mengamalkan Aurad Muhammadiah.
Pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Nasiruddin Mohd Ali, bersama 21 individu lain dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Selain Nasiruddin, turut dituduh mengikut seksyen sama adalah isterinya, Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.
#Tuan Ibrahim Tuan Man #Zulkifli Hasan #Op Global #GISB #kana-kanak #Dewan Rakyat
;