GISB: Tiada pelajar dan petugas IPT terlibat - KPT

Bernama
September 30, 2024 15:40 MYT
KPT mengesahkan tiada pelajar atau petugas IPT terlibat dengan GISB setakat ini, tetapi pemantauan berterusan dilakukan. -Gambar fail
KUANTAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar serta petugas institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan terlibat dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd setakat ini.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar atau petugas IPT terlibat dengan GISB setakat ini, tetapi pemantauan berterusan dilakukan.
  • Kerajaan akan mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang kegiatan GISBH yang melibatkan penuntut atau warga kerja IPT. Keputusan Majlis Raja-Raja mengenai isu ini juga sedang dinantikan.
  • Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global pada 11 September, menyerbu 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH, menahan lebih 300 individu, dan menyelamatkan 572 mangsa.

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun berkata kerajaan sedang memantau perkembangan tersebut di semua IPT dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang kegiatan GISB yang melibatkan penuntut atau warga kerja di mana-mana institusi.
"Berdasarkan maklumat diterima belum ada kes tetapi kita sedang pantau. Selalunya setiap minggu ketika mesyuarat Kabinet, perkara ini akan dibentangkan namun setakat minggu lepas (penglibatan pelajar dan petugas IPT dalam aktiviti GISB) belum ada.
"Bagi peringkat KPT kita akan tengok Rabu ini. Jika ada maklumat kita akan ambil tindakan secara bersama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Elsevier-MTUN Ketiga Sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.
Mustapha berkata pihak kementerian turut menunggu keputusan Majlis Raja-Raja berkaitan isu GISB sebelum mengambil langkah seterusnya dalam usaha mengelakkan pembabitan penuntut atau warga kerja dengan GISB.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sebelum ini dipetik berkata keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang bulan depan.
Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.
Sejak Op Global bermula lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.
-- BERNAMA
#Mustapha Sakmud #GISB #Global Ikhwan Services and Business #Kementerian Pendidikan Tinggi
;