GISB: Teknologi DNA jadi harapan rungkai isu ketidakpastian nasab

Bernama
Oktober 5, 2024 11:20 MYT
Ujian "paterniti" akan membolehkan hubungan genetik dikenal pasti tanpa bergantung kepada dokumen atau saksi yang sering sukar didapati.
KUALA LUMPUR: Penggunaan sains dan teknologi asid deoksiribonukleik (DNA) mampu menawarkan penyelesaian tuntas dalam merungkai ketidaktentuan nasab kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings (GISBH) baru-baru ini.
Penyarah DNA Forensik di Fakulti Sains Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Seri Mirianti Ishar berkata teknologi DNA menerusi ujian "paterniti" akan membolehkan hubungan genetik dikenal pasti tanpa bergantung kepada dokumen atau saksi yang sering sukar didapati.
"Ketepatan ujian DNA boleh mencapai 99.9999 peratus menjadikannya kaedah yang diakui dalam sains dan undang-undang untuk menentukan identiti seseorang.
"Analisis DNA membolehkan penentuan hubungan biologi antara individu kerana manusia mewarisi jujukan DNA daripada kedua ibu bapa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.
Dalam konteks itu, katanya ujian paterniti DNA atau dikenali molekul warisan membandingkan DNA antara anak dan bapa dan sekiranya sepadan ia menjadi petunjuk biologi bagi identiti seseorang.
Dr Seri Mirianti berkata proses analisis DNA bermula dengan mengambil sampel yang biasanya diambil daripada air liur atau darah dan diproses untuk meningkatkan jumlah DNA menggunakan teknik khusus yang dikenali sebagai "polymerase chain reaction" (PCR).
"DNA yang dihasilkan akan dipisahkan mengikut saiz menggunakan teknik elektroforesis. Hasil pemisahan ini akan membantu menentukan kesesuaian dan hubungan biologi antara sampel terbabit," katanya.
Sementara itu, pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah Dr Hajar Fauzan Ahmad berkata satu lagi ujian makmal yang boleh diguna pakai pihak berkuasa adalah kaedah DNA "fingerprinting" atau cap jari genetik yang membolehkan identiti individu dikenal pasti berdasarkan urutan DNA unik mereka.
"Perlu kita faham perbezaan dua ujian ini. Ujian paterniti DNA biasanya memfokuskan pada hubungan keluarga serta digunakan untuk membuktikan atau menolak paterniti.
"DNA fingerprinting pula digunakan untuk mengenal pasti individu berdasarkan corak unik DNA mereka. Ia berfungsi dengan menganalisis kawasan tertentu dalam genom yang bervariasi antara individu, dikenali sebagai minisatelit. Urutan ini tidak mengandungi kod untuk gen tetapi berbeza panjangnya antara individu," jelasnya.
Dr Hajar Fauzan berkata terdapat beberapa cabaran dalam proses penentuan nasab itu termasuk kos ujian DNA yang tinggi, risiko pencemaran silang, kemungkinan kesilapan teknikal semasa pengambilan serta analisis sampel selain kerjasama yang tidak mencukupi daripada individu terlibat.
Beliau berkata terdapat juga isu etika dan privasi iaitu sesetengah pihak mungkin enggan memberikan sampel DNA atau mendedahkan sejarah keluarga mereka.
"Proses pengesahan yang memerlukan kehadiran pihak berkuasa semasa pengambilan sampel juga boleh menjadi rumit, terutamanya dalam situasi yang melibatkan pihak ketiga atau keadaan sosial yang kompleks," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #DNA #nasab kanak-kanak #terkini
;