GISB: Polis siasat dakwaan pusat kuarantin jadi tempat indoktrinasi di dalam, luar negara

Umavathi Ramayah
September 28, 2024 19:59 MYT
Razarudin berkata, pusat kuarantin itu dipercayai menjadi tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISB yang bermasalah. - Bernama
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujudnya pusat kuarantin kendalian Global Ikhwan Service and Business (GISB) di dalam dan luar negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pusat kuarantin itu dipercayai menjadi tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISB yang bermasalah.
"Siasatan ini adalah berdasarkan maklumat yang dimuat naik di akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).
"Pada masa sama, polis juga sedang mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki GISB bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Razarudin memberitahu, 10 kertas siasatan dibuka berhubung isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa individu yang pernah berkerja dengan syarikat itu.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007
Sementara itu, beliau menjelaskan kenyataan bahawa GISB tidak pernah membayar cukai adalah merujuk kepada Tahun Taksiran terkini yang sedang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau memberitahu, siasatan itu memfokuskan beberapa syarikat di bawah GISB, dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendaftaran 1967.
#ajaran sesat #Global Ikhwan Services and Business #GISB #pusat kuarantin
;