GISB: Negeri Sembilan kekal pendirian rujuk pewartaan sesat Al-Arqam - Aminuddin
Bernama
November 6, 2024 20:00 MYT
November 6, 2024 20:00 MYT
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kekal dengan pendirian merujuk dan menggunakan pewartaan sesat bagi Penyelewengan al-Arqam pada 2016 terhadap ajaran dan kepercayaan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini.
Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tiada keperluan untuk mengeluarkan fatwa lain berkaitan GISBH kerana kepercayaan mereka adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang telah diwartakan sesat.
"Apabila mereka cuba menghidupkan semula Aurad Muhammadiah itu, ia tetap sesatlah. Sudah ada peraturan, jadi untuk apa kita buat satu lagi peraturan... tetapi terpulang kepada negeri lainnak buat tetapi di Negeri Sembilan (tiada keperluan).
"Enakmen sedia ada itu sudah mencukupi, apabila mengimani sesuatu yang bukan daripada ajaran sebenar, ia sesatlah. Kita tahu mereka menjurus ke arah itu, maka sesatlah.
"Jika kepercayaan al-Arqam itu telah diharamkan, maka ia tertakluk kepada enakmen yang sama (termasuk GISBH)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.
Sebelum ini, Mufti Negeri Sembilan Prof. Datuk Dr. Mohd Faudzinaim Badarudin dilaporkan berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mendapati ajaran dan kepercayaan GISB adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang diwartakan sesat di negeri ini pada 2016.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri turut meminta pengikut GISB di negeri ini supaya mendaftarkan diri bagi mengikuti program rehabilitasi secara sukarela.
Beliau berkata usaha yang dilaksanakan secara kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu adalah bagi menjamin aspek akidah dan kelangsungan hidup ahli-ahli GISB.
"Saya merayu kepada pengikut GISB di luar sana yang ingin mengikuti proses pemulihan atau rehabilitasi ini supaya mendaftarkan diri mereka. Pemulihan ini akan dijalankan selama tiga bulan," katanya.
Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Baharuddin Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menawarkan program rehabilitasi secara sukarela kepada ahli GISB yang masih bebas di negara ini untuk mereka kembali ke ajaran Islam yang sebenar.
Beliau berkata, pendaftaran itu dibuka sehingga 14 Nov depan serta mengalu-alukan penyertaan ahli organisi berkenaan tanpa mengira usia dan jantina.
-- BERNAMA