GISB: Johor tubuh jawatankuasa khas pulih akidah, selaras bantu anak pengikut

Bernama
Oktober 2, 2024 21:30 MYT
Onn Hafiz berkata, jawatankuasa itu turut menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISB. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut-Pengikut Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd yang akan berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jawatankuasa berkenaan turut menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak-anak pengikut GISB.
"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MAINJ juga akan menggunakan kekuatan enakmen sedia ada dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meneliti serta mengkaji termasuk membuat sebarang ketetapan yang berkaitan dengan status GISB.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata 30 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan menerusi Op Global yang dijalankan di Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 20 dan 21 Sept lepas.
Beliau berkata kesemua mangsa ditempatkan di bawah jagaan JKM bagi tempoh sebulan dan MAINJ turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada JKM untuk keperluan pakaian dan buku pelajaran mereka.
Onn Hafiz berkata operasi melibatkan pemeriksaan lapan premis milik GISB itu turut membawa kepada penahanan 29 individu dan penemuan lebih 20 buku serta risalah mencurigakan berkaitan Aurad Muhammadiah.
"Daripada jumlah yang ditahan, lapan daripadanya telah ditangkap semula kerana disyaki memiliki buku berkaitan Aurad Muhammadiah.
"Hal ini kerana, memiliki atau menyimpan risalah yang telah diwartakan haram merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 9, Mengingkari Pihak Berkuasa dan Seksyen 13, penerbitan bersalahan dengan hukum syarak," katanya.
-- BERNAMA
#GISB #jawatankuasa khas #pulih akidah #Johor #onn hafiz ghazi
;