GISB: Jika itu kena kompromi, tiada guna saya jadi PM - Anwar

Astro Awani
September 25, 2024 23:54 MYT
Anwar berkata, sekiranya tindakan tidak diambil ke atas isu itu, beliau menyifatkan dirinya gagal sebagai seorang pemimpin - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian untuk tidak berkompromi dalam menyelesaikan isu membabitkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).
Perdana Menteri berkata, sekiranya tindakan tidak diambil ke atas isu itu, beliau menyifatkan dirinya gagal sebagai seorang pemimpin.
“Saya bertekad bahawa saya tidak akan berkompromi. Kalau itu kena kompromi, tidak ada makna saya jadi Perdana Menteri.
"Setakat ini Alhamdulillah, Tuhan beri saya kesihatan yang baik, tetapi saya nekad dan tidak akan mengalah, kalau itu (GISB) nak kena kompromi, tiada makna saya jadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani bertajuk 'Mencorak Peralihan Tenaga yang Mampan untuk Masa Depan Negara yang Sejahtera', di sini malam ini.
Anwar menambah, mana-mana individu yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tidak kira sama ada individu itu sering bercakap mengenai Islam.
"Mentaliti kita soal akhlak dan nilai itu jadi ke belakang.
“Walaupun (dia seorang) pensyarah dan cakap mengenai Islam (sampai) berbuih mulut, tetapi kita tetap akan ambil tindakan (sekiranya dia terbabit) rasuah (atau) Global Ikhwan (GISB). Itu akan ditentang," tegasnya.
#GISB #Rasuah #kompromi #Islam
;