GISB Holdings: PDRM terus siasat hingga tiada lagi sisa ajaran boleh dihidupkan semula

Bernama
Oktober 10, 2024 06:40 MYT
Mohd Shuhaily bercakap pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, semalam. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap GISB (GISB) Holdings Sdn Bhd sejak serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat berkenaan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan pada 11 Sept lepas, kini memasuki sebulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran serta fahaman dibawa GISB tidak dihidupkan semula.
Beliau berkata, antara agensi terlibat adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan cadangan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.
"Siasatan membabitkan GISB ini lebih besar dan bukan sahaja melibatkan kefahaman serta ideologi semata-mata. Ia melibatkan lebih daripada kefahaman dan ideologi, mereka ini mengamalkan sosiobudaya dan ekonomi mereka sendiri.
"Oleh itu, kerjasama dengan semua agensi yang terbabit diperlukan dan kita serahkan kepada kerajaan dengan syor diberikan berkaitan keperluan pendekatan pemulihan holistik, tidak hanya kepada kefahaman," katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas soal aset syarikat berkenaan, beliau berkata, siasatan terhadap aset GISB di luar negara selepas mengenal pasti 23 harta milik syarikat itu di 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta, sudah dimulakan.
"Polis masih menunggu maklum balas daripada sembilan negara lain dipercayai GISB turut menjalankan operasi di rantau Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah. Kita juga minta bantuan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi berkaitan.
"Kita memperoleh maklumat terdapat tiga premis di sebuah negara telah berhenti beroperasi dengan papan tanda sudah diturunkan malah tingkap dan pintu ditutup dengan plastik hitam. Kita belum dapat maklumat tentang ahli-ahli mereka di negara tersebut jadi itu ialah siasatan seterusnya yang akan kita susun," katanya.
Sementara itu, 16 individu dikaitkan dengan GISB ditahan semula semalam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan dan setakat ini, 58 individu telah ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.
Mohd Shuhaily berkata, sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 orang ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.
Mengenai 97 kertas siasatan dibuka, Mohd Shuhaily berkata, ia melibatkan pelbagai kesalahan menyaksikan sembilan individu telah dituduh di mahkamah dengan 34 pertuduhan iaitu 20 pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Sarjana Islam yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai lima lagi pakar dalam bidang akidah dan sukatan pelajaran pemulihan itu juga memfokuskan kepada kaedah dan cara yang sesuai untuk memulihkan akidah mangsa serta pengikut GISB, khususnya kanak-kanak.
Di Melaka, Mahkamah Tinggi Syariah semalam membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas gerakan Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau dikenali sebagai Abuya pada 19 Dis depan bagi membolehkan mereka dituduh bersama-sama tujuh individu lain.
Di Pulau Pinang, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB telah memulakan kelas pembelajaran selepas Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil alih urusan pendidikan mereka bermula 1 Okt lepas dan perkembangan pembelajaran kanak-kanak itu sangat baik.
Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar nasib kanak-kanak dikaitkan dengan GISB yang diselamatkan di negeri ini dibela termasuk memberikan pendidikan perdana yang sempurna. - BERNAMA
#GISB Holdings #ajaran sesat #eksploitasi kanak-kanak #Ashaari Muhammad
;