GISB: Guru agama dipenjara 10 tahun rotan kanak-kanak lelaki, tekan dada guna lutut

Bernama
September 26, 2024 14:00 MYT
Muhammad Barur Rahim mengaku bersalah atas empat pertuduhan menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISB. -Bernama
KLANG: Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.

Ringkasan AI
  • Muhammad Barur Rahim Hisam, seorang guru agama, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana menganiaya tiga kanak-kanak lelaki.
  • Tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan, termasuk merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd.
  • Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM10,000, dan jika gagal mematuhi bon, boleh dipenjara enam bulan.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan.
"Saya mengaku bersalah puan," kata tertuduh sambil menundukkan kepala ketika ditanya jurubahasa mahkamah berhubung pengakuannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala penjara tiga tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat serta memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan menjadikan kesemuanya berjumlah 10 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM10,000 dan sekiranya gagal mematuhi bon, boleh dipenjara enam bulan.
#guru agama #Global Ikhwan Services and Business #tekan dada dengan lutut #Muhammad Barur Rahim Hisam
;