GISB: Empat individu disambung reman tiga hari
Bernama
September 27, 2024 16:15 MYT
September 27, 2024 16:15 MYT
KOTA BHARU: Empat individu disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, selepas reman mereka berakhir hari ini.
Ringkasan AI
- Empat individu disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes GISB selepas reman mereka berakhir hari ini.
- Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 September terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB, mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan.
- Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.
Permohonan reman dikemukakan polis dan dibenarkan Majistret Rais Imran Hamid di Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini.
Terdahulu, kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun itu tiba di kompleks mahkamah berkenaan pada 9.20 pagi dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum ini media melaporkan kesemua empat lelaki warga tempatan itu direman tiga hari bermula 25 Sept lepas.
Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 Sept terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB, kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan GISB.
Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB ditahan dan 572 mangsa telah diselamatkan.
-- BERNAMA