GISB: 140 kanak-kanak belum dituntut, Nancy nasihat ibu bapa jangan takut
Bernama
Disember 3, 2024 14:56 MYT
Disember 3, 2024 14:56 MYT
KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) tidak perlu bimbang untuk bertemu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membuktikan mereka mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata JKM tidak akan mengambil tindakan seperti menahan mereka melainkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak berkenaan mempunyai rekod kesalahan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita ambil maklum ada ibu bapa tidak berani respons atau datang awal kepada kita (untuk buktikan pertalian) kerana kebimbangan mereka akan ditangkap dan perlu membayar sejumlah kos kepada peguam yang mengendalikan kes.
"Ingin saya tegaskan, mereka boleh sahaja berhubung dan datang terus kepada JKM tanpa menggunakan sebarang pengantaraan (khidmat peguam) kerana kami kasihan melihat nasib kanak-kanak itu, yang kini hanya ada 140 kanak-kanak lagi menunggu untuk dikembalikan kepada keluarga mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi soalan tambahan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu tempoh masa diperlukan untuk memulihkan kesihatan mental kanak-kanak yang terlibat sebelum dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
Nancy berkata setakat hari ini, seramai 420 daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global telah diserahkan kepada keluarga termasuk empat kepada orang yang layak dan sesuai.
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lepas, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.
Bagaimanapun setelah ditemu bual oleh pihak penguat kuasa, Nancy berkata didapati hanya 560 mangsa sahaja yang terlibat dan semuanya telah dikeluarkan perintah untuk berlindung sementara di bawah JKM.
-- BERNAMA