GIP-MAHB: Tidak mungkin kerajaan biarkan aset negara dikawal syarikat Israel – Amir Hamzah

Firdaus Azil
Julai 3, 2024 16:54 MYT
Amir Hamzah menjelaskan kerajaan juga akan terus memegang saham khas atau 'golden share' dalam MAHB. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ada keperluan untuk mendapatkan dana yang besar bagi tujuan menaik taraf lapangan terbang Malaysia di bawah kendalian Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB), memandangkan ia sudah ketinggalan berbanding negara serantau.

Ringkasan AI
  • Ada keperluan untuk mendapatkan dana yang besar bagi tujuan menaik taraf lapangan terbang Malaysia di bawah kendalian Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB), memandangkan ia sudah ketinggalan berbanding negara serantau.
  • Bagaimanapun, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan, itu sama sekali tidak bermaksud Kerajaan akan melepaskan pegangan ke atas aset strategik milik MAHB itu, apatah lagi untuk membiarkan ia dikawal syarikat milik Israel.
  • Dalam sesi penerangan di Kamar Khas Parlimen pada Rabu, beliau berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah sebaliknya akan meningkatkan lagi pegangan sahamnya daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan, itu sama sekali tidak bermaksud Kerajaan akan melepaskan pegangan ke atas aset strategik milik MAHB itu, apatah lagi untuk membiarkan ia dikawal syarikat milik Israel.
Dalam sesi penerangan di Kamar Khas Parlimen pada Rabu, beliau berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah sebaliknya akan meningkatkan lagi pegangan sahamnya daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
“Pengurusan MAHB tidak akan diambil alih oleh warga asing. Lapangan terbang kekal milik Kerajaan. MAHB hanya bertindak sebagai operator lapangan terbang, manakala agensi penguat kuasa Kerajaan akan terus menguruskan aspek keselamatan.
“Lapangan terbang Malaysia juga sudah ketinggalan berbanding negara serantau. Cadangan mengambil alih MAHB oleh Konsortium (diterajui KWSP dan Khazanah) ini adalah dengan hasrat akhir untuk menyediakan perkhidmatan lapangan terbang terbaik buat rakyat dan penumpang,” katanya lagi.
Ketika ini, beliau berkata, Khazanah dan KWSP masing-masing memegang 33 peratus dan 8 peratus saham MAHB manakala baki 59 peratus dimiliki oleh pelabur lain.
Oleh itu, beliau berkata, cadangan mengambil alih MAHB melalui penubuhan konsortium yang diterajui Khazanah dan KWSP itu akan membeli keseluruhan 59 peratus saham yang kini dimiliki pelbagai pelabur.
“Hasratnya adalah supaya 100 peratus saham MAHB dipegang oleh konsortium,” katanya lagi.
Selain itu Amir Hamzah berkata, penyahsenaraian MAHB daripada pasaran awam akan membolehkan pembaharuan MAHB disegerakan, supaya memanfaat dana pelaburan yang diterima bagi menaik taraf kapasiti dan keselesaan kemudahan di semua lapangan terbang di negara ini.
Mengenai pembabitan Global Infrastructure Partners (GIP) yang menjadi kontroversi kerana dikaitkan dengan firma BlackRock milik Israel, Amir Hamzah berkata, entiti itu Penglibatan GIP hanya sebagai pelabur dan rakan teknikal.
Jelasnya lagi, mereka hanya berperanan untuk memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran mereka dalam meningkatkan tahap kecekapan lapangan terbang.
Kerajaan juga, jelasnya lagi, akan terus memegang saham khas atau 'golden share' dalam MAHB. Situasi itu, kata Amir Hamzah, membawa maksud bahawa hanya Kerajaan yang mempunyai kuasa untuk melantik Pengerusi dan Pengarah Urusan MAHB, yang kedua-duanya mesti warganegara Malaysia.
“Oleh itu, selari dengan hasrat perjanjian konsortium ini, pengurusan MAHB tidak sama sekali akan diserahkan kepada rakan kongsi konsortium asing. Maka, tiada asas untuk mendakwa warganegara asing akan ambil alih pengurusan MAHB,” tegasnya lagi.
Mengambil kira faktor bagaimana lapangan terbang kendalian MAHB agak ketinggalan, selain perbelanjaan modal MAHB hanya sekitar RM1.4 bilion untuk 39 lapangan terbang, berbanding Thailand (RM6.6 bilion) dan Indonesia (RM12 bilion), maka perubahan perlu dilakukan sekarang.
“Kecekapan sektor penerbangan amat penting bagi menyokong pembangunan ekonomi. Tahap connectivity lapangan terbang dalam rangkaian antarabangsa serta kecekapan urusan di lapangan terbang, antara penentu pertumbuhan perdagangan dan pelancongan.
“Perubahan mesti dilakukan sekarang, lebih-lebih lagi apabila sekarang berlakunya perubahan rangkaian bekalan global susulan isu geopolitik dunia seperti konflik antara Amerika Syarikat dan China.
“Syarikat antarabangsa sedang giat mencari alternatif lain untuk melabur dan kedudukan negara ASEAN dilihat strategik,” katanya lagi.
Tambahnya, sekiranya Malaysia mahu menarik lebih ramai pelabur masuk ke negara ini, peluang ini hendaklah dimanfaat sebaiknya dengan memastikan tahap connectivity yang lebih tinggi terutamanya dengan negara rakan perdagangan dan pelaburan negara.
#MAHB #Amir Hamzah Azizan #BlackRock #Global Insfrastructure Partners
;